Tuesday, 20 November 2018

MB Terengganu Ketuai Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri

SHARE
Dr. Samsuri mengetuai perarakan Maulidur Rasul.
KUALA TERENGGANU, 20 November - Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu menjadi tradisi saban tahun dan disambut meriah dengan penglibatan segenap lapisan masyarakat.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diiringi barisan kepimpinan negeri mengetuai perarakan sejauh 2.4 kilometer (km) dari Dataran Shahbandar melalui Jalan Sultan Zainal Abidin dan Bulatan Ladang.

Perarakan itu disertai 63 pasukan dengan 1,500 peserta terdiri daripada jabatan kerajaan Persekutuan dan badan berkanun, jabatan kerajaan negeri serta badan berkanun negeri yang mengalunkan selawat sepanjang jalan.

Perarakan itu berakhir di Stadium Negeri bagi upacara perasmian yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Baginda tuanku turut berkenan menyampaikan hadiah buat pemenang perarakan terbaik dan pertandingan- pertandingan yang diadakan sepanjang pra-sambutan Maulidur Rasul.

Hujan tidak merencatkan kemeriahan perarakan.
Perarakan terbaik kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri dimenangi oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 beserta sijil.

Bagi kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan dimenangi Lembaga Pertubuhan Peladang Terengganu.

Manakala, kategori Sekolah Menengah dan Institut Pengajian Tinggi dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu.

Pertandingan Musafir Maulid yang julung kali diadakan dimenangi oleh Muhammad Muaz Anuar dari Dungun bagi kategori kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan Mat Zakie Mat Yeh dari Besut (kategori motosikal).

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 beserta sijil penghargaan.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: