Wednesday, 21 November 2018

Mahu Beri Perkhidmatan Terbaik - Dr Azman

SHARE

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 21 November- Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim mahu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat bagi memastikan agenda pembangunan di negeri ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, beliau yakin 33 jabatan dan agensi yang berada di bawah portfolionya akan membawa Negeri Terengganu berada pada satu tahap dan kedudukan yang terhormat.

“Ianya adalah satu portfolio yang besar dari sudut bilangan jabatan dan agensi dimana ada pertanian, perikanan, veterinar, peladang, Fama, Felcra, Mardi, Risda, Bernas dan lain-lain yang berada didalam satu pentadbiran.

"Bila kita sebut pertanian dan industri asas tani, kebiasaannya diceburi dan dimiliki oleh orang Melayu dan kerajaan negeri memberi pandangan yang serius terhadap anak muda yang masih tidak ada kerja dan projek-projek negeri ini yang terbengkalai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sepetang Bersama Dua EXCO Sempena Karnival Maulidur Rasul yang diadakan di Arena Merdeka (Square), kelmarin.

Menurut beliau, Allah telah mengurniakan satu keadaan semulajadi geografi yang baik di Negeri Terengganu untuk dimanfaatkan.

"Kita di Terengganu ada laut yang paling panjang di semenanjung Malaysia iaitu daripada Kemaman sehingga ke Besut, 244 kilometer.

"Ada 14 muara sungai disamping itu juga ada 12,000 hektar tanah yang terbiar. Dalam masa yang sama, kita ada orang muda yang sihat dan pelbagai bantuan dan agensi kerajaan yang menyokong termasuk pelbagai kursus-kursus kemahiran untuk kita pastikan rakyat kita mempunyai kemahiran dan ilmu yang mencukupi," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: