Thursday, 8 November 2018

Limpahan Empangan, 523 Penduduk Dipindahkan

SHARE
Antara 523 penduduk yang terlibat dalam Simulasi Limpahan Air Empangan yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu.
HULU TERENGGANU, 8 November - Hampir 523 penduduk berdekatan Empangan Kenyir berdepan 'situasi cemas' apabila mereka terpaksa 'dipindahkan' setelah siren kecemasan dibunyikan ketika air empangan berkenaan mencecah paras bahaya 153 meter.

Antara kampung terlibat termasuk Kampung Dura, Kampung Baung, Kampung Kuala Pueh, Kampung Gaung dan empat buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Pauh, SK Kuala Dura, SK Padang Setengga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagor.

Mereka dibawa ke pusat penempatan setelah kawasan mereka dilanda banjir akibat limpahan air daripada empangan tersebut dengan kenderaan termasuk lori dan bot selain dibantu kenderaan pacuan empat roda.

Mohd Zalizan Sulong.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Zalizan Sulong berkata, 'perpindahan' itu merupakan sebahagian daripada simulasi banjir sekiranya berlaku limpahan air dari empangan dan mereka yang terlibat adalah yang tinggal di sepanjang sungai berhampiran yang berisiko tinggi.

"Untuk simulasi pada kali ini, pihak
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah bekerjasama dengan 20 agensi termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Radio Amatur.

"Program simulasi ini merupakan kali keempat dilaksanakan sejak 2016 tetapi pada kali ini melibatkan skala yang lebih besar sebagai langkah awal hadapi kemungkinan banjir akibat limpahan air dari empangan berkenaan,"katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Keselamatan Empangan "Latih Amal Tindakbalas Kecemasan" Penduduk Mukim Jenagor & Kuala Berang di Dewan Majlis Daerah Kuala Berang, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Stesen Janalektrik Sultan Mahmud Kenyir, Mustapha Kamal Yaacob.


Tambahnya lagi, pihak TNB juga sentiasa turun padang dalam menyampaikan maklumat serta langkah yang perlu diambil jika berlaku limpahan dan siren kecemasan dibunyikan kepada penduduk sekitar.

Untuk rekod, Tasik Kenyir yang berkeluasan 370 kilometer (km) persegi itu mula dibina pada 1978 dan beroperasi sepenuhnya pada 1985, dan kawasan tadahannya seluas 1,260 km persegi yang merangkumi tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang
SHARE

Author: verified_user

0 komen: