Thursday, 1 November 2018

Lesen Motor Percuma Hadiah Istimewa Buat Belia

SHARE
Wan Sukairi Wan Abdullah.Foto oleh:Tengku Syamim
KUALA TERENGGANU, 1 November-
Satu lagi janji untuk anak muda akan terlaksana apabila kerajaan negeri bakal menghadiahkan lesen motosikal percuma kepada golongan belia bermula Januari 2019, sepertimana manifesto PAS negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, sebagai permulaan seramai 20,000 belia berumur 16 tahun ke atas hingga 40 tahun layak menikmati tawaran itu.

"InsyaAllah, pada awal Januari 2019, keseluruhan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mendapat agihan jumlah pemohon yang sama rata iaitu seramai 625 belia yang layak untuk menerima bantuan lesen RM300 seperti kita janjikan sebelum ini.

"Ini termasuklah 12 Institut Memandu yang terdapat di negeri ini yang akan mendapat pecahan yang sama rata iaitu kira-kira 426 penerima lesen yang berjaya supaya tidak wujud monopoli di kalangan mereka (pengusaha) nanti,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Bengkel Manifesto Lesen di Wisma Kokitab, di sini, hari ini.


Wan Sukairi berkata, bengkel berkenaan diadakan bagi mencari kaedah terbaik bagi melaksanakan bantuan lesen yang merupakan salah satu janji daripada 20 manifesto yang bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

"Kita adakan kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi memandu.

"Hasilnya kita akan masukkan dalam mesyuarat induk manifesto dalam masa yang singkat untuk selaraskan dalam pembentangan bajet nanti,"ujarnya lagi.

Tambah Wan Sukairi, pihaknya juga mensasarkan pada pertengahan suku kedua 2019, pemberian lesen percuma ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Namun begitu, akan ada jumlah tertentu dengan mengambil kira kewangan negeri," jelasnya.

Terdahulu, beliau berkata, tujuan pelaksanaan janji itu kerana mahu mengurangkan gejala rempit tanpa lesen termasuk mengurangkan bebanan keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM300 untuk mendapatkan lesen di samping mengurangkan kadar kemalangan.

"Mungkin ada di antara kita yang tidak punyai kemampuan untuk dapatkan lesen yang bagi sesetengah pihak merasa jumlah itu kecil tetapi bagi sesetengah orang ia rasakan jumlah itu cukup besar.

"Tawaran ini juga akan mendedahkan belia terbabit supaya mengikuti kursus kaedah pemanduan untuk jadi pemandu yang berhemah,"katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: