Thursday, 1 November 2018

Kontroversi Pengadilan Piala Malaysia Tidak Patut Berulang

SHARE
Wan Sukairi harap mutu pengadilan Liga Malaysia lebih baik pada masa hadapan.
KUALA TERENGGANU, 1 November - Kerajaan Negeri Terengganu berharap kontroversi pengadilan yang berlaku dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 tidak akan berulang lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pasukan Terengganu Football Club (TFC) 1 akur dengan kekalahan itu.

"Saya telah mendapat maklumat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT)  bahawa kita tidak akan melakukan apa-apa bantahan berkenaan kontroversi yang berlaku termasuklah berkaitan kedudukan penjaga gawang Perak yang dikatakan berada pada kedudukan yang salah ketika penentuan penalti," katanya.

Beliau sebaliknya berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat melakukan 'post-mortem' yang telus terhadap perlawanan tersebut.

"Kita harap kesilapan seperti ini tidak berlaku lagi dalam perlawanan akan datang khususnya bagi perlawanan-perlawanan penting.

"Saya juga mewakili rakyat Terengganu ingin melahirkan rasa terkilan dengan sikap pemain Perak yang melakukan aksi kurang sopan serta tidak melambangkan semangat kesukanan dan berharap ia tidak akan diulangi.

50 peserta dilepaskan mendaki Bukit Besar.
"Berkenaan imbuhan kepada pemain TFC 1, perkara ini akan diputuskan dua minggu lagi dalam mesyuarat jawatankuasa kerajaan negeri.

"Samada ada atau tidak, kita akan umumkan nanti," katanya kepada pemberita ketika merasmikan pelepasan pendakian sempena Hari Kesihatan Warga Pejabat Agama Kuala Terengganu di Bukit Besar, pagi ini.

Program itu julung kali diadakan di atas inisiatif Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah dan disertai 50 peserta terdiri daripada kakitangan Pejabat Agama Daerah.

Tiga kategori dipertandingkan dalam program itu iaitu kategori terbuka, 40 tahun ke atas dan kategori bawah 40 tahun.

Wan Sukairi bergambar bersama peserta Hari Kesihatan.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: