KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan Negeri telah
melaksanakan pelbagai program bagi menangani masalah keruntuhan akhlak serta
gejala sosial di kalangan remaja melalui pelbagai jabatan kerajaan.
Ini termasuk melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
(JHEAT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Institut Modal Insan Terengganu
Sejahtera (i-MiTS) dan Yayasan Islam Terengganu (YIT).
Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, JHEAT
melalui Bahagian Undang-undang Keluarga melaksanakan beberapa program untuk
tujuan tersebut termasuk Program Pembangunan Keluarga Islam (PPKI) dan Program
Pembangunan Sosial (PPS).
Menteri Besar berkata, bahagian itu juga mewujud dan
memperkasakan Modul Keluarga Sakinah yang bersepadu dan praktikal melalui
program kursus perkahwinan Islam, Ziarah Mahabbah dan Bimbingan Islam kepada
Pesakit-pesakit di Wad Hospital seluruh Daerah di Negeri Terengganu dan
lain-lain.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Haji Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat
Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 14 di Wisma
Darul Iman di sini.
Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata,
sebanyak empat program untuk tujuan tersebut juga dilaksanakan oleh Bahagian
Dakwah JHEAT termasuk mewujudkan kelas Agama Islam Terengganu (SPAIT),
menempatkan seramai 260 orang muallim dan 56 pegawai Daie bagi mengimarahkan
masjid dan suaru di seluruh negeri Terengganu, membuka kelas Tafaqquh Fiddin,
kursus kefahaman Islam dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Terengganu (MAIDAM) dan menerbitkan bahan bercetak untuk pelajar dan masyarakat
awam.
"Perbelanjaan bagi aktiviti ini untuk tahun 2018 adalah
sebanyak RM309,000," jelas beliau.
Menurut Dr Ahmad Samsuri berkata Bahagian Penguatkuasaan
JHEAT juga melaksanakan enam program termasuk Seminar Pencegahan Jenayah Syariah
kepada Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu.
Kursus Pencegahan Jenayah Syariah kepada Pelajar Sekolah
bagi Daerah Setiu 2018, Forum Ihya' Ramadhan "Hebat Ibadat, Delete Maksiat",
Program Islam Mukhayyam Komuniti Di Sayang.
Seminar Pencegahan Jenayah Syariah kepada Mahasiswa
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin,
Dungun dan Pelajar Kolej Vokasional Dungun serta Program Bina Insan Komuniti
Yang Disayangi.
Sementara itu YPK pula melaksanakan tiga program termasuk
Saya Anak Terengganu "Taklif"-Pemantapan Tanggungjawab Ibu Bapa dan
Anak, Saya Anak Terengganu "Ingat Sebelum Terkena", Saya Anak
Terengganu "Peningkatan Potensi Diri".
Sementara i-MiTS pula kata beliau sentiasa menangani masalah
gejala sosial di kalangan remaja secara berterusan melalui bimbingan
kerohanian, majlis ilmu, sukan, pembinaan jati diri dan pendedahan kerjaya.
Dalam pada itu YIT juga mengadakan pelbagai progran termasuk
Usrah di kalangan Mat Motor, Penagih Dadah, Kak Yah (Pondan), remaja terlibat
budaya Punk dan lain-lain.
0 komen: