Friday, 9 November 2018

Kerajaan Negeri Timbang Cadangan Jambatan Baru Sri Bayas

SHARE

Oleh: Dzakaria Mohd Salleh, Abd Muhaimin 

Setiu 9 November-Kerajaan negeri akan menimbang kembali cadangan pembinaan jambatan baru bernilai RM10 Juta oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Parit Saliran (JPS) Setiu yang telah diangkat permohonannya sebelum ini masih belum diluluskan oleh kerajaan terdahulu di Kampung Sri Bayas, Permaisuri, Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr. Mamat Puteh berkata beliau hanya mengetahui cadangan pembinaan jambatan yang telah diangkat permohonan ke kerajaan negeri sebelum ini melalui Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir.

"Jambatan ini memerlukan perbelanjaan yang besar, satu beban juga kepada kerajaan negeri dalam keadaan sekarang kerana kita menghadapi masalah kekurangan bajet, tetapi sekiranya ada bajet yang mencukupi... In Sha Allah kita boleh buat.

"Alternatif lain bahawa projek ini perlu juga dibawa ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kerana kita lihat kawasan ini adalah kawasan luar bandar dan kerajaan negeri akan berikhtiar supaya KPLB boleh menimbangkan permohonan daripada penduduk terbabit,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI)selepas meninjau masalah yang dihadapi  penduduk Kampung Sri Bayas dan sekitarnya berkaitan laluan utama jambatan yang sering dinaiki air terutama pada musim tengkujuh.

Turut  hadir, Pegawai Pejabat Daerah Setiu, Rosdi Awang; Jurutera JKR Daerah Setiu, Wan Zaid Wan Sulong; Jurutera Daerah JPS Setiu, Puan Aisyah Abu Bakar dan Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri,  Ustaz Zul Bhari Abd Rahman.


Menurut rekod, Kampung Sri Bayas merupakan antara kawasan yang sering dinaiki air ketika musim tengkujuh dan penduduk akan berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kampung Besut sekiranya paras air semakin meningkat.

Perkampungan ini menempatkan seramai 64 keluarga sering terkandas apabila kediaman mereka terputus hubungan kerana jambatan utamanya yang menghubungkan kampung terbabit dengan bandar ditenggelami air setiap kali banjir melanda.

Jambatan sepanjang 30 meter itu kerap tenggelam setiap kali air sungai meningkat melebihi satu meter.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: