Tuesday, 13 November 2018

Kerajaan Negeri Sedia Timbang Bajet Tubuh Taska Permata Baharu

SHARE
Dr. Alias Razak.
KUALA NERUS, 13 November - Kerajaan negeri bersedia menimbangkan peruntukan tambahan bagi penubuhan premis baharu Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Permata Keluarga di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sekiranya ada keperluan daripada pihak jabatan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, perkara itu akan dipertimbangkan kerana permintaan untuk kemudahan taska ini sentiasa meningkat mengikut keperluan semasa dan penubuhannya yang lebih selamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Permintaan terhadap kemudahan taska akan meningkat dari tahun ke tahun, jadi, dari segi perincian tentang berapa bilangan yang diperlukan mengikut Parlimen, kita serah kepada YPK untuk buat kajian.

"Kerajaan negeri sentiasa menyokong Taska Permata Keluarga dan jika ada keperluan kita akan berusaha dapatkan bajet tambahan. Walaupun pendidikan penting tetapi keselamatan lokasi juga sama mustahak," katanya.

Dr Alias berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Hafaz Muqaddam Taska Permata YPK Kuala Nerus di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd Shafaruddin Mustaffa dan Pengawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Haji Mohd Fazil Wahab.


Seramai 213 kanak-kanak berusia empat tahun daripada sembilan Taska Permata Keluarga di parlimen ini diraikan dalam majlis graduasi itu apabila berjaya menghafaz 23 surah lazim.

Sementara itu, beliau turut mengulas keselamatan taska yang mana YPKT  mempunyai SOP yang perlu dipatuhi untuk memastikan keselamatan anak-anak yang dihantar ke taska terjamin dalam banyak aspek.

Jelasnya, YPKT membuat pemeriksaan berkala mengikut prosedur mereka ke atas taska-taska ini yang merupakan salah satu rutin pihak mereka bagi  memastikan perkhidmatan yang berkualiti dengan setakat ini tiada sebarang laporan atau aduan berhubung penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“YPKT ada menjalankan pemeriksaan berkala dan pemeriksaan mengejut ke taska-taska bagi memastikan taska yang dikendalikan mematuhi syarat-syarat yang digariskan dalam akta dan peraturan serta kita ada pemantauan dengan CCTV di sesetengah taska.

“Guru-guru yang terlatih dan mempunyai kelulusan ijazah merupakan salah satu kriteria dalam pengambilan guru di samping mempunyai minat dalam bidang ini termasuk latihan secara menyeluruh supaya guru-guru ini mempunyai disiplin dan sentiasa mematuhi arahan dari semasa ke semasa," ujarnya lagi.


Program tradisi tahunan itu secara keseluruhannya disertai seramai 1,170 kanak-kanak di seluruh negeri yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai pengajian al-Quran di samping memupuk minat dan kecintaan dalam usaha membudayakan al-Quran.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: