Monday, 19 November 2018

Kerajaan Negeri, JPJ Jalin Kerjasama Tunai Manifesto Lesen Motor Percuma

SHARE

KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi merealisasikan pemberian lesen motor percuma kepada golongan belia bermula Januari 2019 seperti mana Manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerjasama ini bagi mencari kaedah dan pelaksanaan terbaik dalam melaksanakan janji kerajaan yang dijangka akan diumumkan pada pembentangan sidang bajet pada 25 November ini.

"Tujuan pihak kami mengadakan kunjung hormat pada hari ini adalah  untuk berbincang dengan JPJ tentang pemberian lesen motor percuma dan mencari kaedah serta penyelesaian terbaik untuk kita lakukannya, yang dijangkakan akan diumumkan dalam persidangan bajet tidak lama lagi dan pelaksanaannya selepas daripada itu.

"Segala bantuan dan khidmat dari pihak JPJ sepanjang tempoh pelaksanaan ini akan membantu pihak kerajaan negeri dalam merealisasikan janji kerajaan baharu dalam pemberian lesen motor percuma kepada belia berumur 16 hingga 40 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) sempena lawatan kerja di Pejabat JPJ, Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin.


Tambah Wan Sukairi lagi, selepas ini pertemuan akan diadakan dengan pihak Institusi Memandu untuk berbincang dalam tempoh sehari dua ini.

“Ini  kerana banyak proses terpaksa melalui pihak mereka untuk mendapatkan lesen ini dan kita akan buat perjumpaan ini sebelum pembentangan bajet untuk penyelarasan terbaik," ujarnya lagi.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, pihaknya akan membantu apa yang pihak kerajaan negeri perlukan dalam merealisasikan pelaksanaan  manifesto tersebut.

"Kami sentiasa mengalu-alukan program-program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan negeri untuk kita sama-sama laksanakan. Pihak kami akan memberi segala bantuan selagi tidak menyalahi undang-undang yang termaktub dalam peraturan JPJ bagi memastikan pelaksanaan manifesto berjaya,” katanya.

Untuk rekod, sebagai permulaan seramai 20,000 belia berumur 16 tahun hingga 40 tahun layak menikmati tawaran itu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: