Tuesday, 20 November 2018

Keputusan UPSR 29 November Ini

SHARE
Datuk Dr Amin Senin. Foto ihsan - ISMAWeb
KUALA LUMPUR, 20 November - Semua murid Tahun 6 boleh mengambil Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah pada 29 November 2018 mulai jam 10:00 pagi di sekolah masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin berkata, calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 melalui mySMS 15888.

"Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10:00 pagi 29 November 2018 dan akan ditamatkan pada 6:00 petang 8 Disember 2018," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini, mengulas tentang tarikh Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah 2018 (PPSR).

Dalam perkembangan sama, katanya, PPSR merupakan suatu dokumen yang melaporkan kejayaan murid pada akhir persekolahan peringkat rendah yang lebih holistik dan bermakna.

"Pelaporan tersebut merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan UPSR bagi murid aliran perdana atau Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran.

"Waris dibenarkan mengambil dokumen pelaporan sekiranya murid tidak dapat mengambilnya sendiri.

"Semakan keputusan UPSR dan PASR 2018 juga boleh dibuat melalui portal Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my," jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: