Sunday, 4 November 2018

Kempen Derma Darah Galak Rakyat Menyumbang

SHARE
Derma darah satu usaha murni.
KUALA TERENGGANU, 4 November - Lebih 50 penderma terdiri daripada kakitangan Yayasan Terengganu dan orang awam menghadiri Kempen Derma Darah yang diadakan di Dewan Besar Yayasan Terengganu, hari ini.

Kempen yang dianjurkan oleh Kelab Yayasan Terengganu (YT) dengan kerjasama Kolej Kemahiran YT dan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) itu telah bermula sejak tahun 2010.

Yang Dipertua Kelab YT, Amiruddin Arifin berkata, kempen itu diadakan bertujuan untuk memberi galakan kepada masyarakat terutama kakitangan kerajaan untuk menderma darah.

Amiruddin galakkan kempen derma darah di kalangan kakitangan.
"Tahun demi tahun, kempen ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Usaha sebegini sebenarnya sangat membantu hospital mendapat bekalan darah mencukupi," katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan, Unit Transfusi Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Yusnira Mohamad Yusof memaklumkan bekalan darah di Terengganu adalah mencukupi.

"Bagaimanapun, pengumpulan darah perlu sentiasa dilaksanakan kerana penggunaan darah bagi negeri ini adalah sekitar 40-60 beg darah sehari.

"Lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh. Biasanya musim ini, jumlah bekalan darah akan menurun kerana kurangnya penderma.

"Ini disebabkan masyarakat lebih tertumpu kepada perkara lain di samping waktu cuti bagi penuntut universiti yang mana mahasiswa antara penyumbang besar bank darah," katanya.

Setiap bulan Unit Transfusi Darah biasanya menerima sekitar 1,200 hingga 1,500 penderma melalui kempen-kempen yang diadakan.

Pengumpulan darah perlu berterusan.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: