Monday, 5 November 2018

Kelab Warga Emas, Tanda Kerajaan Cakna

SHARE
Ghazali beramah mesra bersama warga emas.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 5 November - Penubuhan Kelab Warga Emas melalui Yayasan Pembangunan Keluarga, menjadi tanda kecaknaan Kerajaan Negeri Terengganu dalam menghargai golongan berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika ditemui pemberita, semasa hadir ke penubuhan Kelab Warga Emas, yang diadakan di Balairaya Bukit Besi, kelmarin.

Ghazali Sulaiman berkata, kehadiran 100 orang warga emas di seluruh DUN Bukit Besi, menjadikan ia berjaya direalisasikan.

"Menyedari hakikat bahawa warga emas tidak boleh disia-siakan, pengalaman yang mereka ada boleh membantu dalam memajukan negeri.

"Penubuhan kelab ini menjadi medan untuk mereka bersuara kerana kebanyakannya merupakan pesara kerajaan yang memiliki pendapat dan idea yang baik untuk kemajuan bersama," ujarnya.

Kelab yang ditubuhkan di seluruh DUN itu juga akan menjadi platform untuk warga emas bersosial serta berperanan dalam masyarakat.

"Mereka tidak boleh disisihkan, segala jasa dan keringat mereka di masa yang lampau harus dihargai. Disebabkan itu, saya amat menyokong penubuhan kelab ini.

"Mereka permata yang berharga dalam masyarakat," ucapnya.

Warga emas berkumpul menyokong penubuhan kelab.
Pada perjumpaan kali pertama itu, jawatankuasa kelab telah ditubuhkan untuk membantu kelab berkenaan agar lebih berfungsi.

Dalam pada itu, Seramai 106 penghuni Rumah Ehsan (RE) turut diraikan masyarakat dalam Hari Bersama Pelanggan dan Temu Murni di bandar Al Muktafi Billah Shah, baru-baru ini.

Majlis itu diadakan sempena Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan yang diisytiharkan pada 1 Oktober setiap tahun sebagai menghargai golongan itu.

Pelbagai program dilaksanakan agar wujudnya interaksi di antara penghuni RE dengan masyarakat selain membuktikan kehadiran mereka dihargai oleh masyarakat.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang Oktober, antaranya program mengacau bubur Asyura anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), solat hajat, tahlil dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang melibatkan Pusat Giatmara Al Muktafi Billah Shah dan Paka.

Kelab Warga Emas mampu sumbang idea kepada negeri.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: