Sunday, 25 November 2018

Kelab Ibu Tunggal Tempat Membina Kekuatan

SHARE


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 25 November- Ibu tunggal digalak menjadikan Kelab Ibu Tunggal(KIT) sebagai tempat untuk membina kekuatan diri dalam meneruskan kehidupan yang mencabar bersama anak-anak.

Setiausaha Kehormat Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat PAS (Khairunnisa’), Hajah Zarani Othman berkata, golongan ini diharap dapat manfaatkan KIT sebaiknya bagi mendapat informasi dan panduan serta memotivasi diri.

"Tidak dinafikan sebagai ibu tunggal, kitalah emak, kitalah ayah, kita banyak masalah jadi kita  mesti berkongsi, maka di sinilah kita berjumpa kawan-kawan yang dapat memotivasikan diri kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Kelab Ibu Tunggal Daerah Dungun di Dewan Terbuka Arena Square, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita di Pejabat Menteri Besar Terengganu, Hajah Khairiah Mokti.


Menurut isteri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu itu,  ibu tunggal bukan sahaja memerlukan kekuatan spritual iaitu hubungan yang dekat dengan Allah tetapi juga kekuatan fizikal.

“Apatah lagi ibu-ibu tunggal perlu kepada sokongan daripada keluarga, masyarakat dan juga NGO untuk mencari redha Allah,” ujarnya.

Beliau juga melahirkan harapan yang tinggi agar setiap  ibu tunggal bersedia untuk berubah cara hidup yang lebih produktif,  lebih berani dan sanggup menghadapi segala cabaran.

"Semangat lebih positif untuk menghadapi cabaran...hubungan kita dengan Allah mesti kuat, hubungan kita dengan keluarga dan masyarakat mesti kita bina bagi merangsang kekuatan di dalam diri,” ujarnya.

Katanya, Khairunnisa’ sentiasa bersedia untuk membantu KIT dalam usaha membina individu muslim.

"Kita berhasrat untuk membina keluarga muslim, masyarakat muslim dan seterusnya kita nak bina negeri dan negara muslim,” ujarnya.

Malah katannya, kerajaan negeri juga akan sentiasa membantu bukan sahaja dari segi moral bahkan dari segi ilmu dan sebagainya untuk memantapkan diri ibu tunggal di negeri ini.

" Insentif yang diberikan bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi juga dari segi ilmu supaya kita tahu matlamat  untuk membina keluarga yang sejahtera, " ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: