Monday, 19 November 2018

Karnival Maulidur Rasul Meriahkan Sambutan Peringkat Dungun

SHARE

Ghazali (kanan) ketika mengikuti Program Karnival Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Dungun, di Arena Merdeka Square, Dungun, baru-baru ini.Ustaz Foto oleh POk Mang JR
Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 19 November- Program Karnival Maulidur Rasul yang diadakan sepanjang lima hari, berakhir 20 November ini di Arena Merdeka Square, di sini, mampu memeriahkan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Dungun.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, program yang bermanfaat kepada seluruh rakyat Terengganu, khususnya di seluruh Dungun itu mampu menyemarakkan  semangat semua lapisan masyarakat bagi memperingati junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan mencontohi sifat Baginda.

"Baginda Rasulullah menjadi model dan teladan yang relevan untuk dicontohi sepanjang zaman, dalam membentuk keperibadiaan diri yang baik. Pada sambutan Maulidur Rasul pada kali ini, marilah sama-sama kita kenang kembali perjuangan Baginda.

"Rasulullah yang meninggalkan sejarah agung. Kerana perjuangan Baginda, kita pada masa kini menikmati cahaya Islam.Perjuangan kita pada hari ini, adalah agar Islam yang syumul dikembalikan pada pemerintahan negara, agar pemerintahan yang adil, telus dan saksama dapat dijayakan. Kerana itulah hasrat Kerajaan Negeri masa kini membangunkan negeri tercinta ini berasaskan  prinsip Terengganu, Berkat, Maju dan Sejahtera,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika hadir sempena perasmian karnival itu, di sini, baru-baru ini.

Ghazali berkata, masyarakat perlu sedar, segala kepincangan yang berlaku pada masa kini adalah kerana kegagalan melaksanakan syariat agama dan mencontohi sifat mulia Rasulullah SAW dalam segenap ruang kehidupan.



Sehubungan itu beliau berharap agar masyarakat tidak melepaskan peluang untuk hadir pada setiap malam sepanjang karnival itu bagi mengikuti segala program yang bermanfaat.

Dalam pada itu, pada setiap malam juga, pengunjung berpeluang mendapat hadiah cabutan bertuah berupa motosikal.

"Tahniah kepada Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli kerana merealisasikan program sebegini yang berlangsung dari 16 sehingga 20 November ini,"katanya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: