Friday, 16 November 2018

Karnival Cinta Rasul Semarak Cinta Kepada Baginda

SHARE
Ustaz Mohd Nor Hamzah (kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada penerima.
Oleh: Syaharulhafizi Shamsudin

HULU TERENGGANU, 16 November - Karnival Cinta Rasul Peringkat Daerah Hulu Terengganu merupakan satu usaha kerajaan negeri untuk menggarap dan menyemarakkan cinta kepada Rasullah dalam diri rakyat Terengganu khususnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, mencintai Rasulullah SAW adalah suatu lanjutan cinta kepada Allah SWT.

"Ini kerana kita sebagai umat Islam dituntut untuk menyayangi baginda, bahkan kita telah bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah dan juga merupakan Rukun Iman yang kedua selepas beriman kepada Allah.

“Di akhir zaman ini, kita berhadapan pelbagai ujian, godaan dan fitnah yang berkemungkinan mengheret untuk jauh dari agama dan sunnah Rasullah,” ujar beliau ketika merasmikan Karnival Cinta Rasul di Dataran Kuala Berang, semalam.

Tambah beliau, program seumpama ini diharapkan dapat menanam perasaan cinta kepada Allah dan Rasul dalam jiwa masyarakat.

"Justeru, kita dapat memotivasikan diri agar mengamal dan menghidupkan sunnah Rasullah lantas meninggalkan segala larangan," katanya.


Dalam perkembangan sama, Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Daerah Hulu Terengganu kepada empat orang penerima.

Salah seorang penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Daerah Hulu Terengganu ialah Abidin Abd. Samad yang telah berkhidmat sebagai jurunikah Mukim Jenagor serta Imam di Masjid Kampung Temir, Kuala Berang sejak tahun 2001.


Selain itu, penerima anugerah Tokoh Jurunikah Peringkat Daerah Hulu Terengganu adalah Ramli @ Mustaffa Ahmad, Tokoh Bilal Peringkat Daerah Hulu Terengganu, Ismail Jalaluddin dan Tokoh Imam Peringkat Daerah Hulu Terengganu, Md Yunus Hassan.

Turut hadir dalam majlis perasmian itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Dr Haji Mamad Puteh, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Zainal Abidin Mohamed, Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Haji Muhyiddin Abdul Rashid serta Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Safari Abu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: