Monday, 19 November 2018

Kakitangan i-MiTS Main Peranan Penting Sebar Maklumat Dasar Kerajaan Kepada Rakyat

SHARE
Foto - Shaharulhafizi Shamsudin.
KUALA TERENGGANU, 19 November - Kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, mereka yang dilantik selepas PAS menerima mandat memerintah negeri ini juga perlu bertindak sebagai mata, telinga dan mulut kerajaan.

“Selain menjadi pelaksana kepada agenda kerajaan, kakitangan i-MiTS adalah mata dan telinga kerajaan untuk mendengar segala permasalah dan aduan daripada masyarakat untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Juga menjadi mulut untuk menyampaikan semua polisi dan dasar kerajaan agar masyarakat tahu apa yang dilaksanakan kerajaan," ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Perhimpunan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Dato' Husain Awang, Pengarah i-MiTS Negeri Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said @ Mat Ali.

Menurut beliau, selain menjadi pelaksana kepada pembangunan modal insan, kakitangan i-MiTS turut bertanggungjawab mengajak dan menanamkan dalam diri seluruh lapisan masyarakat tentang pengabdian diri kepada Allah.

i-MiTs berperanan bukan sahaja membangunkan peribadi semata-mata tetapi membangunkan masyarakat, keluarga, usahawan, pendakwah, kakitangan kerajaan dengan satu perkara yang besar iaitu pengabdian diri kepada Allah.



“Di samping berperanan melaksanakan seluruh agenda yang ada dalam kerajaan termasuk pembangunan sukan, belia, wanita, keluarga, usahawan juga menjadi tanggungjawab kakitangan i-MiTS menjayakannya,” ujarnya.

Justeru katanya, beliau mengharapkan seluruh kakitangan i-MiTS dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada negeri selaras dengan visi i-MiTS dalam menyebarluaskan dan menerapkan dasar kerajaan kepada rakyat Terengganu dalam menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: