Saturday, 24 November 2018

Kahwin Muda Mahu Elak Maksiat; Walimatulurus Perdana Terengganu

SHARE
Mohamad Salman dan Ainaa Athirah pilih kahwin muda.
KUALA TERENGGANU, 24 November - Pasangan muda, Mohamad Salman Muhamad Sebri, 20 dan Ainaa Athirah Ruzima, 18, memilih untuk berkahwin di usia muda kerana mahu mengelak perkara maksiat.

Ainaa Athirah berkata, keputusan itu dipersetujui kedua ibu bapa dan keluarga mertua malah mereka menyokong penuh hasratnya bergelar isteri.


Katanya, kakak sulung dan kakak kedua juga berkahwin pada usia 18 tahun, dan tidak pelik bagi keluarganya dengan keputusan yang diambil.

"Banyak saya belajar terutama berkaitan ilmu rumahtangga dengan mereka, apa yang baik saya akan amalkannya untuk menjadi isteri solehah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Walimatulurus Perdana 2018 Parlimen Kuala Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.


Majlis yang meraikan 29 pasangan pengantin itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.

Tengku Hasan turut menyampaikan kad nikah, wang caruman bernilai RM1,000 dan sijil penyertaan kepada pasangan pengantin.

Majlis akad berlangsung kira-kira pukul 8.30 pagi dan Majlis Resepsi pula pada jam 11.00 pagi itu merupakan siri ketiga bagi tahun ini.

Ianya diadakan secara serentak membabitkan keseluruhan 190 pasangan termasuk 16 pasangan dari Hulu Terengganu manakala Dungun (31 pasangan), Kemaman (21 pasangan), Setiu (13 pasangan) dan Besut (21 pasangan).

Program Walimatulurus Perdana 2018 itu antara lain bagi membantu memudahkan pasangan di negeri ini mendirikan rumah tangga memandangkan bebanan kos meraikan perkahwinan yang semakin meningkat di samping dibimbing dalam pembentukan rumah tangga.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: