Thursday, 15 November 2018

JKNT Siap Siaga Hadapi Banjir

SHARE
Dr. Mohd Jusoh
KUALA TERENGGANU, 15 November -Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kini siap siaga dengan kekuatan 137 pasukan petugas yang melibatkan seramai 641 anggota bagi menyalurkan khidmat dan bantuan segera di seluruh negeri pada bila-bila masa dalam musim tengkujuh kali ini.

Pengarahnya, Dr. Mohd Jusoh memberitahu, pasukan yang akan digerakkan ini  juga bersedia secara mental dan fizikal bagi menghadapi risiko penyakit di kalangan mangsa dan berupaya memberi rawatan terbaik kepada kepada mangsa yang terjejas banjir.

"Seramai 373 orang dari 69 pasukan perubatan yang  terdiri daripada lima anggota bagi setiap pasukan  bersedia memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta rujukan sekiranya terdapat mangsa yang memerlukan di pusat-pusat pemindahan.

"Manakala bagi  pasukan kesihatan pula seramai 323 anggota dari 74 pasukan yang terdiri daripada tiga anggota kesihatan pula akan bertindak menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi memantau, mengesan serta mengawal kejadian penyakit berjangkit akibat banjir," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Diabetes & Jantung Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Dewan Serbaguna PPR Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini.


Menurutnya lagi, pihak jabatan juga telah mengarahkan semua hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri untuk menyediakan bekalan ubatan dan peralatan yang mencukupi serta ambulan berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

"Anggota terlibat juga telah diarahkan untuk bersiap sedia, dan kemungkinan cuti akan dibekukan apabila perlu.

“Kepada orang ramai  terutama mangsa banjir termasuklah golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita mengandung, warga tua serta mereka yang mengidap penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi, diingatkan supaya bersiap sedia dengan bekalan ubatan yang mencukupi dan disimpan di tempat yang selamat,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, jabatan juga mengambil kira sekiranya  pusat pemindahan yang mempunyai mangsa yang mencapai 1,000 orang, klinik statik akan beroperasi secara tetap di Pusat Pemindahan terlibat bagi memastikan semua mangsa terjejas banjir yang memerlukan rawatan mendapat perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

"Daerah juga telah menyediakan pelan perancangan peringkat daerah masing-masing  dengan mengenal pasti pusat pemindahan sementara pesakit berisiko bagi ibu hamil yang baru bersalin atau penyakit kronik yang stabil dibenarkan discaj dari hospital tetapi masih memerlukan penjagaan,"kata Dr. Mohd.

Beliau berkata, ini termasuklah aktiviti kawalan dan pencegahan sebelum banjir di pusat pemindahan banjir juga dijalankan bagi memastikan kebersihan persekitaran, bekalan air yang cukup dan tempat pelupusan sampah yang sempurna disediakan.

Menyentuh mengenai fasiliti kesihatan yang berisiko banjir, beliau memberitahu, tindakan proaktif telah diambil bagi mengenal pasti fasiliti sementara yang boleh digunakan sekiranya perkhidmatan perlu dipindahkan bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: