Thursday, 22 November 2018

Isu Roboh Rumah Di Kampung Tanjung; Apa Yang Berlaku?

SHARE

KUALA TERENGGANU, 22 November - Bahagian Penguatkuasa Pejabat Tanah Kuala Terengganu yang telah menjalankan tindakan merobohkan sebuah rumah di Kampung Tanjung Kelab Pantai semalam menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa perbuatan tersebut adalah suatu kezaliman dan menyalahi aspek perundangan.

Pegawai Daerah Tanah Kuala Terengganu, Azmi Razik berkata, sebenarnya sejak tahun 2015 lagi Pejabat Tanah meminta pemilik rumah untuk keluar dari rumah berkenaan kerana pemiliknya tidak dapat membuktikan tanah Lot 2795 adalah tanah milik mereka.

"Sepatutnya mereka sekeluarga perlu bersedia untuk tindakan meroboh, pemilik rumah mempunyai masa untuk berpindah dan membuktikan tanah tersebut adalah milik mereka bermula dari tahun 2015 sehingga semalam, 21 November 2018.

"Justeru tindakan ini bukan berniat zalim dan menganiaya warga emas kerana kita sudah memberikan masa yang sangat panjang kepada mereka. Setakat ini projek ini tidak dapat dijalankankan lagi sebab keseluruhan kawasan belum dapat dibersihkan lagi.

"Kesan kelewatan pindah rumah, perancangan projek tidak dapat dijalankan, pulangan modal pelabur lambat dapat, hasil negeri akan berkurang dan pelabur akan hilang keyakinan untuk melabur projek di Negeri Terengganu," jelasnya.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini, ketika dihubungi pemberita, mengulas mengenai kekecohan yang berlaku apabila rumah pusaka yang dibina pada awal 1900 itu, milik Wan Mokhtar Wan Yusof, 64, di Kampung Tanjung Kelab Pantai dirobohkan pihak berkuasa untuk projek pembangunan.

Mengulas lanjut, Azmi turut memberitahu kronologi ringkas berkenaan perkara tersebut. Difahamkan, sebagaimana rekod yang terdapat di Pejabat Tanah Kuala Terengganu pada 6 November 2016, didapati bahawa tanah berketerangan Lot 2795 ini adalah merupakan tanah kerajaan dan tidak pernah didaftarkan di atas mana-mana nama pemilik individu. Malah tiada rekod yang menyatakan tanah ini pernah diambil balik oleh kerajaan sebelum ini.

Melalui Warta Kerajaan Negeri No. 1168 bertarikh 13 Oktober 2011, kawasan di sekitar Kampung Tanjung ini telah terlibat dengan pengambilan tanah bagi Projek Pembangunan Kampung Tanjung yang mana ia termasuklah tanah berketerangan Lot 2795 ini.

Beberapa orang yang mendakwa pewaris kepada pemilik asal tanah ini telah membuat bantahan kepada Pejabat Tanah Kuala Terengganu dan menyatakan bahawa Lot 2795 ini adalah merupakan tanah milik mereka. Malah mereka juga mendakwa telah membayar cukai pintu tahunan sehingga tahun 2008.

Walaubagaimanapun tiada rekod bayaran cukai tanah dibuat ke atas tanah ini. Pejabat Tanah juga ada memohon supaya penama-penama ini menyediakan bukti pembayaran cukai tanah tahunan sekiranya ada namun sehingga kini tidak diserahkan.

Sebagaimana yang diputuskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kali Ke-8 Tahun 2015 pada 11 Mac 2015, Pihak Berkuasa Negeri bersetuju dengan cadangan untuk bayaran wang ehsan dengan kadar 30 peratus daripada nilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Terengganu (JPPHT) atau tertakluk maksima RM20,000.00 kepada pemilik-pemilik rumah atau bangunan di atas tanah kerajaan dan tanah yang tidak dapat dipastikan statusnya yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi Projek Pembangunan Kampung Tanjung.

Sehubungan itu, pada 16 April 2015 Pejabat Tanah telah menghantar sesalinan surat kepada penama-penama yang mendakwa pemilik tanah Lot 2795 ini untuk menyerahkan salinan buku bank dan salinan kad pengenalan untuk urusan bayaran wang ehsan ini namun sehingga kini tiada tindakan dan maklum balas daripada mereka. Sehinggalah pada 27 Julai 2015, Pejabat Tanah telah menerima surat berkenaan tuntutan mereka ke atas tanah Lot 2795 ini.

Sebuah rumah yang terdapat di atas tanah Lot 2795 ini juga belum dirobohkan memandangkan penama-penama yang mendakwa tanah ini milik mereka enggan berpindah keluar dan masih berkeras dengan menyatakan bahawa mereka pewaris kepada pemilik asal tanah tersebut. Malah mereka juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pada 25 November 2015, Pejabat Tanah telah mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) supaya berpindah keluar dari tanah tersebut memandangkan kerja-kerja pembangunan sedang dijalankan di kawasan terbabit. Notis tersebut telah disampaikan kepada seorang yang mendakwa sebagai pemilik rumah tersebut. Walaubagaimanapun sehingga tamat tempoh yang diberikan, mereka masih belum berpindah keluar atau merobohkan rumah tersebut.

Pada 26 Jun 2016, Pejabat Tanah sekali lagi mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 425 KTN kepada pemilik rumah tersebut. Walaubagaimanapun pemilik enggan menerima notis tersebut dan notis tersebut telah ditampal di bahagian rumah tersebut sebagai bukti penyampaian. Sehinggalah tamat tempoh yang diberikan, mereka masih belum berpindah keluar dari tanah tersebut atau merobohkan rumah tersebut.

Pada 27 Julai 2016, Pejabat Tanah Kuala Terengganu telah menerima sesalinan surat daripada Tetuan Patrick Dass & Co yang telah mewakili sembilan (9) penama yang mendakwa bahawa mereka adalah pemilik tanah berketerangan Lot 2795 dan rumah yang terdapat di atasnya.

Pada 25 September 2016, Pejabat Tanah telah mengeluarkan surat jawapan kepada peguam dan memohon supaya dilampirkan dokumen-dokumen berkaitan yang menyokong bahawa tanah tersebut merupakan milik mereka yang berdaftar, namun sehingga kini masih tiada alasan yang diterima.

Pejabat Tanah telah diminta oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk melakukan penguatkuasaan dan perobohan ke atas bangunan di atas tanah ini dengan kadar yang segera ke atas lot ini sedangkan waris kepada pemilik rumah tersebut enggan berpindah keluar dan enggan mengambil wang ehsan yang ditawarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Menurutnya, Pejabat Tanah juga bimbang sekiranya penguatkuasaan dilakukan atau tidak dilakukan akan mengakibatkan ketidakadilan kepada mana-mana pihak yang terlibat.

"Apa yang berlaku adalah tindakan penguatkuasaan telah mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Tindakan Tanah Daerah Kuala Terengganu dan surat pentadbiran telah dikeluarkan sekali lagi kepada pemilik dan telah memaklumkan kepada pemilik rumah operasi akan dilakukan pada 21 November 2018.

"Bahkan, merujuk Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri, tiada halangan untuk diambil tindakan penguatkuasaan (tanah kerajaan) kerana pemilik tidak dapat membuktikan tapak berkenaan adalah tanah milik mereka," tambahnya.

Dalam tumpuan sama, menyentuh mengenai nilai estetika yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak, Azmi menjelaskan, Pejabat Tanah juga mengambil langkah mendapatkan khidmat pihak muzium untuk mengesahkan dakwaan pemilik rumah mengatakan bahawa rumah berkenaan adalah rumah warisan dan khazanah yang perlu dikekalkan, namun hasil siasatan daripada pihak muzium mengatakan bahawa tiada unsur-unsur warisan dan khazanah yang perlu dikekalkan kerana rumah berkenaan tidak mempunyai nilai-nilai sejarah sebagaimana rumah warisan di Losong Haji Su.

Ditanya mengenai rumah-rumah lain yang terlibat dalam projek pembangunan ini sebelum ini, katanya, terdapat 326 buah rumah telah dirobohkan secara sendiri atau dengan bantuan Pejabat Tanah. Pemilik rumah yang lain telah memberi kerjasama yang baik dengan meroboh sendiri rumah dan ada yang meminta Pejabat Tanah untuk robohkan rumah mereka.

"Cadangan pembangunan akan datang akan dimajukan dengan bentuk pembangunan yang akan diputuskan oleh kerajaan negeri kelak. Buat masa sekarang, tapak diberi sewaan kepada pihak Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bermula 1 April 2018 hingga 31 Mac 2021," katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: