Sunday, 11 November 2018

Ibu Bapa Perlu Dapatkan Suntikan Vaksin Kepada Anak-Anak

SHARE


Oleh : Ahmad Fadhilah

MARANG, 10 November - Kerajaan negeri mahu masyarakat lebih peka untuk mendapatkan suntikan vaksin kepada anak-anak dari semasa ke semasa bagi memastikan penyakit berjangkit termasuk demam campak yang kian menular dapat dikekang dengan serius.

Tiga daerah iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Setiu mencatat 101 kes demam campak atau  measles sejak Januari lalu hingga kini, berbanding hanya 17 pada sepanjang tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ustaz Ariffin Deraman berkata, tanpa suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko penyakit berkenaan.


"Masyarakat dinasihatkan terus mendapatkan suntikan imunisasi sebagai inisiatif mengurang dan menghalang pelbagai penyakit berjangkit khususnya demam campak yang sedang merebak di kawasan Marang sejak September lalu.

"Ibu bapa jangan bersikap negatif sehingga tidak mahu dan tidak membenarkan anak mereka untuk mengambil suntikan vaksin,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI )selepas Majlis Perasmian Program Ceramah Kesihatan Penyakit Berjangkit iaitu Demam Campak di Dewan Sivik Bukit Payung, di sini, semalam.

Program tersebut dianjurkan oleh kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (iMiTS) DUN Alur Limbat dan IMiTS DUN Bukit Payung serta Klinik Kesihatan Marang.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: