Thursday, 8 November 2018

Hampir 9,000 Kanak-Kanak YPKT Hafaz Muqaddam Sejak 2007

SHARE
Dr Mamad menyampaikan sijil kepada peserta Program Hafaz Muqaddam.
HULU TERENGGANU, 8 November - Terengganu berjaya merekodkan hampir 9,000 kanak-kanak yang  berjaya menghafaz 23 surah lazim sejak Program Hafaz Muqaddam diperkenalkan 12 tahun lalu.

Manakala pada tahun ini, program yang diselaraskan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu meraikan seramai 1,170 kanak-kanak berumur empat tahun di seluruh Terengganu.

Jumlah itu termasuk 98 kanak-kanak dari Parlimen Hulu Terengganu yang diraikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh di Dewan Sivik, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.


Hadir sama Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Mereka terpilih berdasarkan kemampuan dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Dr Mamad berkata, program hafazan ini bertujuan untuk menanam rasa cinta kepada al-Quran dan ke arah pembentukan akhlak mulia dalam diri anak-anak sejak awal usia.

“Aktiviti pembelanjaran seperti menghafaz dan mengingat secara berulang-ulang, secara tidak langsung akan meningkatkan kognitif, daya dan proses berfikir di kalangan kanak-kanak," katanya.


Menurutnya, untuk melaksanakan program itu, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM20 juta setahun untuk kos pengurusan dan operasi taska di seluruh negeri.

"Manakala kutipan yuran adalah kira-kira RM10 juta bagi tempoh sama.

"Ini menunjukkan kerajaan perlu menanggung kos pengurusan sebanyak RM10 juta setahun iaitu kira-kira 50 peratus daripada kos perbelanjaan tidak termasuk kos pembaikian, penyelenggaraan bangunan taska dan peralatan permainan," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: