Oleh:Syed Ajizuddin
Kemaman,
25 November- Gangguan air yang berlaku di Kampung Pasir Gajah ketika ini adalah
akibat kejadian paip pecah ekoran kerja-kerja menaiktaraf jalan raya dari Kampung
Pasir Gajah ke Binjai yang sedang giat dijalankan.
Ahli
Dewan Undangan Negeri Air Putih, Tuan Haji Ab Razak Ibrahim berkata, masalah bekalan air bersih terputus disebabkan paip
pecah yang menyukarkan urusan harian penduduk Kampung Pasir Gajah dan kawasan
sekitar telah diambil tindakan sewajarnya oleh Syarikat Air Terengganu ( SATU).
Katanya,
beliau bersama-sama dengan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung
Pasir Gajah, Razali Omar bergegas ke tempat kejadian selepas selesai program
ziarah dan menyampaikan bantuan kepada rakyat di Kampung Jabur Perasing untuk melihat
sendiri kerja-kerja pembekalan air sementara dan pembaikpulihan yang sedang
diselenggarakan oleh pihak SATU.
“Kejadian paip pecah yang berlaku disebabkan kesan
daripada tekanan tanah yang ditambun untuk meninggikan paras jalan agar dapat
mengatasi masalah banjir yang berlaku saban tahun di kawasan itu.
“Setakat
ini pihak SATU sedang berusaha untuk menggantikan paip-paip yang pecah dengan
harapan masalah ini dapat diatasi dalam jangka masa dua tiga hari lagi,”
ujarnya kepada pemberita, kelmarin.
Menurut
beliau, pihak SATU telah membekalkan tangki bergerak untuk meringankan masalah
yang dihadapi oleh sekitar 400 buah keluarga di kawasan sekitar.
“Gerakan
bersepadu juga di dilakukan melibatkan Pejabat Daerah, BOMBA dan SATU dengan
menggunakan tangki-tangki yang dibekalkan oleh pihak BOMBA di tujuh lokasi
tertentu termasuk di Masjid Pasir Gajah,” ujarnya.
Beliau
juga mengharapkan agar penduduk dapat menggunakan air yang dibekalkan dengan
berjimat-cermat agar dapat digunakan oleh semua penduduk.
0 komen: