Thursday, 22 November 2018

Felda Wilayah Terengganu Kunjungi MB

SHARE

 
Pertemuan antara Felda Wilayah Terengganu dengan Menteri Besar (tiga dari kanan) di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman semalam.
KUALA TERENGGANU, 22 November - Felda Wilayah Terengganu mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman semalam bertujuan mengeratkan hubungan dua hala bagi menyelesaikan pelbagai isu berkait dengan kepentingan masing-masing.

Pegawai Penyelidik (Hal Ehwal Tanah Persekutuan) di Pejabat Menteri Besar Naraza Muda berkata, Felda diwakili oleh Pengurus Besar Wilayah, Encik Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab, Ketua Peneroka Wilayah, Mohd Ghazali Mamat, Pengerusi GPW Wilayah, Dasia Dollah, Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah, Mohd Azani Abd Aziz @ Md Noor dan Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Wilayah, Rahimi Ghazali.

Sementara pihak Kerajaan Terengganu diwakili Menteri Besar, Setiausaha Politik, Haji Muhyiddin Abdul Rashid, Pegawai Penyelidik di Pejabat Menteri Besar, Ustaz Sheikh Hanafi Sheikh Hassan dan Naraza sendiri.

Pada dasarnya kata Naraza, pihak Felda berpuashati dengan pertemuan yang pertama itu bertujuan menjalinkan satu kerjasama antara pihak Felda dan kerajaan negeri.

Kunjungan itu juga menurut beliau, memberi peluang kepada pihak pengurusan Felda menyampaikan secara langsung segala maklumat mengenai Felda kepada Menteri Besar.

"Saya melihat reaksi positif Menteri Besar terhadap kunjungan itu di mana beliau meluangkan masa lebih lama, hampir dua jam, berbanding dengan pertemuan biasa lain, sekitar 30 minit sahaja.

"Saya berharap JKKR dapat jalin kerjasama erat dengan MPKK." -Dr Ahmad Samsuri.
"Kita melihat perkembangan terkini bahawa mereka agak mesra dengan kerajaan negeri sekaligus bersedia menjalin kerjasama erat bagi memastikan 70,000 warga Felda di negeri ini mendapat perhatian yang sewajarnya, apa lagi dalam suasana harga komoditi sawit mengalami penurunan yang agak teruk," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui, selepas selesai kunjungan hormat berkenaan, di pejabat beliau di sini semalam.

Menteri Besar katanya mengharapkan jalinan kerjasama antara 50 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Tanah Rancangan (JKKR) dapat diwujudkan dengan sebaik mungkin setelah pihak Felda menerima masuk Pengerusi MPKK sebagai anggota JKKR.

Naraza (kiri), Sheikh Hanafi (tengah) dan Haji Muhyiddin (kanan) turut hadir dalam kunjungan hormat Felda Wilayah Terengganu di Pejabat MB semalam.
"Menjadi harapan Menteri Besar agar mereka dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin supaya jalinan kerajaan negeri dan Felda di peringkat akar umbi dapat dijalinkan tanpa ada sebarang halangan.

"Ini satu jalinan kerjasama yang kita lihat membawa kebaikan dan damensi baru yang berbeza dengan kerajaan sebelum ini yang biasanya berlaku diskriminasi apabila pendirian politik kerajaan negeri berbeza dengan kerajaan pusat," jelasnya

Menurut Naraza, hasil perbincangan dari kunjungan hormat itu, pihak felda telah memberi maklumat asas, berkait dengan tanah Felda di negeri Terengganu.

"Dan juga maklumat-maklumat tanah pemilikan Felda yang tidak ada peneroka, hampir  14,000 Hektar di Terengganu.

"Felda juga memberi maklumat tentang kedudukan 20 buah tanah rancangan Felda di seluruh negeri Terengganu," jelasnya.

Menurut Naraza lagi, dalam masa perbincangan tersebut, pihak Felda turut membawa isu-isu berbangkit yang belum dapat diselesaikan termasuk Geran Pemilikan Tanah Peneroka Felda, Rumah Generasi Kedua Felda, Jalan Pertanian dan lain-lain.

"Isu itu melibatkan peruntukan yang telah menjadi amalan pihak kerajaan negeri, disalurkan kepada Felda yang In Sya Allah akan diumumkan kerajaan dalam sedikit masa lagi," jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: