Wednesday, 14 November 2018

Elaun Nelayan Perlu Ditingkatkan RM500 Sebulan

SHARE
Dato' Dr Khairuddin Aman Razali.
Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA LUMPUR, 14 November - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) meningkatkan elaun sara hidup nelayan kepada RM500 sebulan.

“Saya minta supaya elaun sara hidup ini bukan setakat diperkenalkan kembali atau diteruskan, tetapi perlu ditingkatkan lagi kepada RM500 sebulan berbanding RM250 dan RM300 sebelum ini," kata beliau ketika membahaskan Bajet 2019 di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, rata-rata rakyat yang bekerja sebagai nelayan memperoleh pendapatan sekitar RM600 hingga RM1,000 sahaja sebulan.

“Tanpa bantuan seumpama ini, agak sukar bagi mereka berhadapan dengan suasana ekonomi bagi memenuhi keperluan harian mereka,” katanya.

Dr. Khairuddin berharap agar kerajaan PH meningkatkan lagi elaun sara hidup nelayan, terutama apabila tiba musim tengkujuh yang sememangnya boleh menggugat mata pencarian mereka.

Dalam ucapannya semalam, beliau turut membangkitkan pelbagai isu ekonomi rakyat termasuk isu pengangguran, pemberhentian kerja dan hutang isi rumah.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: