Thursday, 15 November 2018

Doa, Tidak Stres Hadapi Peperiksaan - Tengku Hassan

SHARE
Tengku Hassan bersalaman dengan pelajar yang menghadapi SPM di SMKTB, semalam.

  Oleh : Pok Abbas

KUALA TERENGGANU, 15 November - Ketenangan dan doa menjadi amalan yang amat penting kepada pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula kelmarin hingga 13 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar menasihati calon SPM supaya tenang dan tidak berasa stres sepanjang menjawab peperiksaan awam itu.

Bagaimanapun, katanya apa yang lebih penting adalah mengulang kaji pelajaran itu selain tidak meninggalkan solat dan banyak berdoa kepada Allah SWT.


“Pelajar-pelajar yang sedang menduduki  peperiksaan SPM hari ini hendaklah berada dalam keadaan tenang, tidak stres, menjaga emosi dan jangan lupa solat serta banyak berdoa kepada Allah SWT.

“Itu semua penting dan yang paling utama, kita (pelajar) kena banyak ulang kaji pelajaran untuk hadapi peperiksaan ini. InsyaAllah, anak-anak pelajar sekalian boleh jawab periksa dan mendapat kejayaan cemerlang nanti,” katanya sebagai memberi kata-kata semangat kepada pelajar.

Beliau berkata demikian ketika melawat pusat peperiksaan awam itu,  di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah (SMKTB), di sini, semalam.

Kehadiran Tengku Hassan bagi memberi sokongan moral kepada pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut disambut Pengetuanya,  Mohamad A. Ghani, guru dan kakitangan sekolah.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berharap pelajar sekolah berkenaan mampu menjadi contoh kepada calon SPM yang lain dan mampu memperolehi keputusan yang cemerlang.

Tengku Hassan turut mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada pengetua dan guru yang bertungkus lumus bagi memastikan pelajar SMKTB bukan sahaja berjaya di dunia, malah tidak meninggalkan amalan baik sebagai bekalan ke akhirat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: