Monday, 12 November 2018

Didikan Awal Berteraskan Islam

SHARE
Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU, 12 November - Didikan anak- anak mestilah dipupuk dengan pendidikan yang berteraskan Islam dari kecil lagi supaya tidak terpengaruh dengan anasir- anasir yang tidak sihat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, pendidikan pada peringkat awal sangat penting dalam mencorak kehidupan mereka untuk memilih jalan kebenaran.

"Anak adalah amanah dari Allah SWT untuk kita jaga supaya menjadi orang yang bertanggungjawab apabila dewasa serta boleh menjaga agama Islam ini dengan baik.

"Mendidik anak- anak ini memerlukan sifat kesabaran yang tinggi dalam diri ibu bapa, guru dan masyarakat. Tambahan pula keadaan telah berubah dengan ketidaktentuan masalah sosial dan moral yang melanda masyarakat hari ini,"katanya.

Dr Mamad berkata demikian ketika merasmikan sambutan jubli perak dan anugerah kecemerlangan Pusat Asuhan Tunas Iman (Pasti) di Kompleks Perkedaian Ajil, semalam.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) (DUN) Ajil dan ahli jawatankuasa pelaksana kerana melihat penglibatan ramai masyarakat dalam program itu.


"Tahniah dan syabas kepada DUN Ajil kerana dapat menyambut Hari Jubli Perak yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai di sini.

Katanya lagi, untuk mentadbir dan menjaga sesebuah Pasti tidak mudah kerana memerlukan kerjasama tenaga dan penggerak yang kuat dalam PAS itu sendiri, cawangan serta DUN.

Menurut beliau lagi, ia dapat dibuktikan di DUN Ajil sendiri yang lebih 30 tahun mempunyai tiga buah Pasti iaitu Pasti Khairiah, Pasti Annur dan Pasti Tunas Iman dengan  10 orang guru serta 159 graduasi, kelmarin.

"Keadaan Ini menunjukkan keterbukaan dan keyakinan masyarakat menghantar anak- anak mereka untuk belajar di Pasti,"katanya.


Pengarah Program, Mohd Zaharudin Sudin berkata, program itu akan diteruskan kerana mendapat penyertaan ramai masyarakat sekitar.

"Alhamdulillah majlis ini dimeriahkan dengan masyarakat yang turut serta melalui jualan `car boot sale' yang melibatkan lebih 30 tapak niaga.

"Apa yang kami harapkan mesej akan dapat disampaikan kepada masyarakat melalui aktiviti dan program yang dilakukan," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: