Thursday, 15 November 2018

Beri Peluang Kepada Pelajar Tahfiz, Pondok - Satiful Bahri

SHARE
Ustaz Satiful Bahri Mamat.
KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan Terengganu sedia memberi ruang dan peluang kepada para pelajar aliran tahfiz dan pondok untuk berjaya dalam pelbagai bidang di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, rakyat Terengganu akan mendapat pilihan yang pelbagai sama ada di sekolah kerajaan negeri, sekolah swasta dan sebagainya.

Justeru, kata beliau, kerajaan tidak mahu ada di kalangan rakyat di negeri ini yang ketinggalan dalam kelompok pendidikannya.

“Hasrat kita (Maju, Berkat dan Sejahtera) sebagai tema adalah bukan saja untuk kepentingan ukhrawi dengan meninggalkan duniawi ataupun meninggalkan ukhrawi dengan mementingkan duniawi.


“Yang penting kita (kerajaan) cuba gabung jalinkan (pendidikan) bermula dari sekolah rendah sampai peringkat (menengah) negeri.

“Kita melihat seolah-olah ada lompang dalam soal pendidikan atau institusi khususnya Sekolah Agama Rakyat (SAR) seperti tahfiz, pondok, pusat-pusat  pengajian Islam.

“Mereka boleh meraih kecemerlangan kalau diberi peluang. Contohnya, seorang hafiz, kalau mereka mampu untuk menghafaz 30 juzuk (Quran), baik kita beri peluang kepada mereka untuk menceburi bidang-bidang lain juga khususnya bidang teknikal dan sebagainya,” ujar Ustaz Satiful.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Tahun 2018, di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), baru-baru ini (12 November).


Menurutnya, kerajaan negeri akan memanfaatkan agensi dan institusi seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Tati University College (TATiUC) yang sedia ada sekarang.

“Hasrat kita (kerajaan) boleh menawarkan mereka ini peluang untuk mengambil peperiksaan awam. Insya-Allah, lepas itu mereka (pelajar) akan mendapat pilihan yang pelbagai.

“Boleh nak terus kepada Pengajian Islam ataupun boleh pergi kepada teknikal, 'engineering' dan lain-lain.

Menurutnya, pelajar dari aliran tahfiz pondok juga boleh ditawarkan mengambil peperiksaan SPM selain menghafal 30 juzuk al-Quran.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: