Saturday, 24 November 2018

Himpunan Tolak ICERD Rai Kesyukuran Rakyat - MB Terengganu

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 24 November - Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, Himpunan Perdana Rakyat Tolak ICERD tetap diteruskan meskipun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan Kerajaan Persekutuan secara rasmi menolak untuk meratifikasi konvensyen tersebut.

"Tahniah kepada Perdana Menteri kerana membuat keputusan yang berani walaupun diberi tekanan secara dalaman dan daripada pihak antarabangsa.

"Ini keputusan yang tepat dan wajar dengan mengambil kira suasana masyarakat yang ada.

"Apa yang penting, keharmonian antara masyarakat itu dipertahankan dan dipastikan menjadi lebih baik daripada yang ada hari ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Meraikan Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Daerah Marang di Hotel Primula, semalam.

Dr. Samsuri juga menyatakan, sebarang usaha untuk meratifikasi ICERD telah menimbulkan kecelaruan dalam negara.

"Kita dapat melihat bantahan serta ketidakselesaan daripada pelbagai pihak. Ia mewujudkan suasana tegang dan tidak baik terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Sepatutnya tempoh selepas PRU adalah tempoh untuk berkerja dan bukannya mencari masalah baru yang memporak-perandakan rakyat.

"Saya mendapat maklumat himpunan pada 8 Disember nanti tetap diteruskan. Tetapi, ia lebih kepada meraikan kesyukuran rakyat dalam hal ini," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: