Sunday, 4 November 2018

'Bas Kite' Dilancar Di Kemaman

SHARE
Haji Hanafiah (baju batik, tengah) memotong reben untuk gimik pelancaran 'Bas Kite' di Chukai Kemaman, hari ini. Foto - Abdul Hafiz Ghazali
KEMAMAN, 4 November - Kerajaan Terengganu melancarkan 'Bas Kite'  percuma untuk kemudahan pengangkutan penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan Air Putih sebelum dikembangkan ke kawasan lain sekiranya ada keperluan. 

Pelancaran bas henti-henti itu adalah yang pertama di daerah Kemaman selepas kerajaan PAS mengambil alih pemerintahan Negeri Terengganu tahun ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri,  Haji Hanafiah Mat berkata, dengan adanya bas tersebut, ia dapat menyelesaikan masalah pengangkutan di kedua-dua DUN berkenaan, ketika rakyat menghadapi masalah kemelesetan ekonomi. 
Haji Hanafiah (kanan) menaiki 'Bas Kite' sempena pelancarannya di Chukai, Kemaman hari ini.

Serentak itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana bersedia memberi perkhidmatan bas percuma di kedua-dua DUN tersebut.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas merasmikan pelancaran Bas Kite di Perkarangan Lembaga Tabung Haji, Chukai, hari ini. 

Difahamkan, bas berkenaan  akan mula beroperasi esok sejauh kira-kira 20 kilometer untuk satu pusingan bermula dari Bandar Chukai, Kampung Paya Berenjut,  Kampung Binjai dan kembali ke bandar Chukai.

Dijangka bas tersebut akan beroperasi sebanyak lima hingga tujuh 'trip' sehari bermula jam 8.00 pagi hingga 7.00 malam. 

Bas dari Syarikat Cas Ligas Sdn Bhd yang berkapasiti muatan 40 orang penumpang itu dijangka menelan belanja sebanyak RM260,000 setahun atau RM21,000 sebulan dibayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri. 

Haji Hanafiah (kiri) berucap merasmikan Majlis Pelancaran 'Bas Kite' di Chukai Kemaman, hari ini.
Jumlah perbelanjaan itu adalah untuk  gaji pemandu,  minyak,  penyelengaraan dan lain-lain. 

Haji Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata,  hanya sebuah bas sahaja akan beroperasi pada laluan tersebut dan jumlahnya akan ditambah untuk DUN lain berdasarkan kepada keperluan. 

"Bas ini menelan belanja hampir RM260,000 setahun atau lebih RM21,000 sebulan. 

"Ianya akan dibayar oleh kerajaan negeri kepada Syarikat Cas Ligas Sdn Bhd," ujarnya.
SHARE

Author: verified_user


0 komen: