Saturday, 17 November 2018

Bantuan RM10,000 Sebulan Buat Rakyat DUN Sura

SHARE
Bantuan keperluan ringankan beban penduduk.
Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 17 November - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mengagihkan bantuan bulanan berupa beras dan barang keperluan harian membabitkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar DUN itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, peruntukan tersebut merupakan hasil sumbangan orang ramai yang ingin membantu mereka yang memerlukan. 

“Kita berusaha memastikan peruntukan setiap bulan mencukupi RM10,000 untuk diagihkan kepada mereka yang layak dan selain sumbangan, jumlah itu diperoleh daripada potongan sebahagian gaji saya sendiri," katanya.

Sumbangan itu diagihkan dalam Majlis Penyampaian Bantuan Bulanan Fakir Miskin DUN Sura bagi bulan November di Masjid Lama Kampung Sura.

Seramai 60 penduduk menerima sumbangan dalam majlis itu daripada jumlah keseluruhan 180 penerima yang menerima baki agihan di tiga lagi pusat agihan.

Wan Hapandi memaklumkan, bantuan sebegini sudah lama dilaksanakan semenjak beliau dilantik sebagai wakil rakyat.


"Program bulanan hasil inisiatif kita sendiri ini tetap berjaya dilaksanakan dengan jumlah peruntukan bulanan yang sama.

"Disebabkan itu, kita tetap meneruskan program ini apabila menjadi kerajaan pada hari ini," katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat, wakil cawangan PAS Dun Sura serta ahli jawatankuasa yang terlibat.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: