Sunday, 4 November 2018

Banjir Kilat, Lima Keluarga Di Paya Berenjut Dipindahkan

SHARE
Oleh: Abdul Hafiz Ghazali 



KEMAMAN, 4 November- Hujan yang berterusan dan banjir kilat di sekitar Chukai semalam, menyebabkan lima keluarga di Kampung Paya Berenjut, di sini, terpaksa dipindahkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat segera turun melawat kawasan yang terjejas sebaik sahaja menerima maklumat daripada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung itu, Wan Razali Wan Mansor.

Hanafiah berkata, cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat menyebabkan 30 rumah ditenggelami air  serta lima keluarga perlu berpindah ke kawasan lebih selamat sebelum dapat kembali ke rumah masing-masing apabila keadaan kembali pulih.

"Saya mahu agensi dan jabatan berkaitan mencari punca permasalahan banjir kilat yang berlaku di Kampung Paya Berenjut, semalam. Saya berharap mereka dapat menyelesaikan masalah berkenaan secepat yang mungkin, kerana pada masa sekarang ini kita berada di musim tengkujuh,"katanya.


Sementara itu, Wan Razali berkata, pihaknya segera membuka bilik gerakan banjir bagi melancarkan operasi menyelamat dan memindahkan semua mangsa.

"Alhamdulillah, semalam ada di kalangan mangsa banjir menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana cepat bertindak menolong mangsa-mangsa banjir kilat.

"Kepada masyarakat jika berlaku apa-apa masalah, maklumkan cepat kepada MPKK masing-masing supaya bantuan dapat disegerakan,"katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: