Sunday, 25 November 2018

Bajet 2019: RM15 Juta Perkaya Sumber Laut Terengganu

SHARE
Menteri Besar menunjukkan buku Bajet Terengganu 2019.
KUALA TERENGGANU, 25 November - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM15 juta untuk memperkaya sumber perikanan dengan program melabuhkan tukun dan unjam tiruan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peruntukan itu termasuk sebuah bilik sejuk (cold room) dan tempat membaiki bot di kawasan Marang.

"Aspek kebajikan masyarakat nelayan turut menjadi keutamaan negeri. Bagi melaksanakan hasrat ini, penempatan semula nelayan di Besut, Setiu dan Kemaman.

"Selain itu, Skim Bantuan Modal Tani iaitu pinjaman tanpa faedah diwujudkan bagi membantu golongan sasar seperti nelayan, peladang dan penternak selain menyediakan kursus dan latihan percuma buat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan Enakmen Perbekalan (Bajet) 2019 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sebanyak RM1.5 juta juga disediakan untuk proses kajian hidrologi bagi memperdalam dan menaik taraf Pelabuhan Perikanan Chendering.

Dr. Azman Ibrahim.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr. Azman Ibrahim menyatakan antara ancaman utama sumber laut negeri itu adalah pencerobohan nelayan asing.

"Laut kita sepanjang 244 kilometer (km) dengan Zon Ekonomi Eksklusif 88,000 km persegi menyukarkan kawalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Kita sentiasa berbincang dengan APMM dan berharap para nelayan menjadi penyampai maklumat sekiranya berlaku pencerobohan, kerana ia sangat membantu penguatkuasa," katanya.

Selain itu beliau berkata, program melabuhkan unjam dan tukun dapat membantu nelayan mendapatkan hasil laut ketika musim tengkujuh.

"Tujuan pelabuhan unjam adalah bagi mewujudkan kawasan 'rumah baru' bagi hidupan laut.

"Kita letakkan pada jarak lima batu nautika supaya nelayan boleh mendapatkan hasil laut secara berterusan dan tidak perlu pergi jauh pada musim tengkujuh," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: