Tuesday, 27 November 2018

Bajet 2019 : Tubuh Jawatankuasa Khas Tuntut Royalti

SHARE

KUALA TERENGGANU, 27 November - Kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa  khas yang dianggotai wakil rakyat termasuk pembangkang, untuk menuntut wang royalti sebelum Disember ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan mewujudkan jawatankuasa berkenaan adalah tambahan daripada inisiatif yang sedang dijalankan kerajaan negeri ketika ini.


“Jawatankuasa ini akan diwakili beberapa orang daripada parti kerajaan negeri dan wakil pembangkang untuk berbincang bersama mengenai inisiatif dan cara terbaik memperjuangkan wang royalti dengan membawa isu ini ke Putrajaya.
"Saya ambil maklum tentang hal ini dan setuju bahawa ini satu inisiatif  untuk tuntutan royalti dibuat secara bersama di mana semua wakil rakyat termasuk pihak pembangkang duduk bersama untuk selesaikan isu ini.

"Ini merupakan kaedah tambahan kerana kita perlu beri tekanan dengan berbincang mencari cara yang terbaik untuk mulakan pertemuan untuk menyelesaikan di meja perbincangan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri , di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, perincian mengenai tuntutan itu akan diperhalusi dalam jawatankuasa berkenaan selain menetapkan keanggotaannya.


Ketika diminta mengulas kesediaan dua mantan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang mahu membantu dalam isu royalti itu, beliau berkata, kerjasama itu menjadi suatu contoh terbaik kepada rakyat.

"Saya rasa terharu dan gembira dengan tawaran ini dan walaupun parti berbeza tetapi boleh duduk bersama untuk selesaikan masalah rakyat bukan sahaja tentang royalti tetapi dalam isu lain seperti dadah dan ekonomi.

"Ini merupakan satu permulaan budaya politik baru di negeri ini dalam menunjukkan sikap bersama menyelesaikan isu untuk rakyat,"ujarnya.

Terdahulu ketika sesi soal jawab diadakan, Ahmad menyatakan sokongan terbukanya kepada Ahmad Samsuri untuk membentuk jawatankuasa khas itu.

Ahmad Razif pula menggesa kerajaan negeri supaya lebih agresif dalam isu tuntutan royalti minyak dan gas negeri.
Untuk rekod, selepas PAS mengambil alih Terengganu, kerajaan negeri sudah menerima bayaran royalti sebanyak RM300 juta iaitu pada Ogos dan awal September lalu.

Manakala baki bayaran royalti minyak dan gas yang dianggarkan berjumlah antara RM400 hingga RM500 juta diharapkan dapat diterima sebelum akhir tahun ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: