Tuesday, 27 November 2018

Bajet 2019 : Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir

SHARE

KUALA TERENGGANU, 27 November - Terengganu dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya mengerahkan semua agensi terbabit termasuk bersedia dari aspek kemahiran, kelengkapan dan keperluan bagi menghadapi bencana banjir besar pada bila-bila masa sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri,  Hanafiah Mat berkata, persiapan sudah dilaksanakan bermula dari suku pertama 2018  menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang bermesyuarat dua kali.

"Peringkat pertama kita sudah bincangkan pasal `post mortem' dan persiapan kesiap siagaan berkaitan banjir.

"Semua pejabat daerah juga telah bermesyuarat untuk pelarasan persiapan di peringkat daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sektor yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) berkaitan persiapan yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi menangani masalah banjir di seluruh Terengganu yang berkemungkinan berlaku tidak lama lagi, pada sesi soal jawab lisan di Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Hanafiah berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga turut diberi pendedahan mengenai latihan asas, keselamatan dan simulasi menghadapi banjir oleh agensi dan jabatan yang berkaitan.

"Ini termasuklah hebahan media kepada semua peringkat yang terlibat dalam banjir tentang persediaan yang mereka hadapi," katanya
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: