Wednesday, 28 November 2018

Bajet 2019: Terengganu Komited Tarik Pelabur Baharu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 28 November-Terengganu komited untuk terus menarik pelabur dari industri hiliran ke negeri ini bagi memastikan ekonomi terus berkembang sekali gus memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sehubungan itu, kerajaan akan mewujudkan perhubungan yang baik dengan pelabur sedia ada bagi menggalakkan syarikat berkenaan meningkatkan pelaburan dan menarik pelabur yang menjadi pelengkap kepada produk mereka.

Katanya lagi, sekiranya sebuah kilang kereta beroperasi pastinya akan membawa kepada pembukaan kilang tayar, bateri, besi dan elektronik sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Di samping itu juga, kita menyertai misi-misi pelaburan anjuran Malaysia Investment Development Authority (MIDA) dan  ini adalah peluang kerajaan negeri untuk mengadakan sesi 'business matching' secara terus dengan pelabur.

"Malah kita juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam mempromosikan peluang pelaburan di Negeri Terengganu untuk menarik pelabur luar negara dan mengadakan hubungan yang baik dengan agensi pelaburan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC),"katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, di sini, hari ini.


Dr. Ahmad Samsuri yang baharu sahaja menerima surat pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana dan Penyelarasan (ICC) Negeri Terengganu turut mengucapkan penghargaan kepada  YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kepercayaan tersebut.

Tambahnya lagi, hubungan yang erat turut dijalinkan dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkait rapat dengan sektor industri sebagai contoh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina dan Dewan Perniagaan India Muslim Terengganu.

"Melalui jalinan perhubungan ini, ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri di dalam usaha mempelbagaikan industri di  Terengganu dan ini tidak hanya terhad kepada pelabur asing sahaja.

"Kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan-kawasan industri baharu yang berhampiran dengan perkhidmatan logistik dan lebuh raya yang boleh menarik pelabur baharu dan ia telah dibincangkan dalam mesyuarat pertama ECERDC yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 31 Oktober 2018,"katanya.

Menurutnya, bagi menambah baik sistem penyampaian untuk memastikan permohonan pelaburan dapat diluluskan dengan lebih cekap dan efisien, semua birokrasi permohonan pelaburan akan dipermudahkan tanpa meminggirkan kepentingan aset dan rakyat Terengganu.

Beliau berkata, usaha itu termasuklah membantu pelabur untuk menikmati skim galakan pelaburan yang menarik daripada agensi pelaburan seperti MIDA dan ECER.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: