Thursday, 29 November 2018

Bajet 2019: Taman Ilmu Tidak Akan Jadi Projek ‘Gajah Putih’

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan Taman Ilmu di Tembila, Besut menjadi projek ‘gajah putih' dan akan berusaha untuk membangunkan kembali projek tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, pembangunan Taman Ilmu perlu diteruskan selaras dengan matlamat mewujudkan hab pendidikan tinggi di negeri ini.

Katanya, ianya akan dipulihkan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri dengan mengambil kira perkembangan semasa.

"Kita memandang berat segala kerosakan yang berlaku pada struktur bangunan dan kemudahan yang disediakan, dan ia memerlukan kos penyelenggaraan yang dianggarkan hampir sama dengan pembinaan awal projek itu.

 "Kos membaiki dianggarkan sebanyak RM400 juta berbanding kos membinanya dulu sebanyak RM350 juta," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ustaz Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) yang diwakili  Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Satiful berkata, Kerajaan negeri juga membenarkan pihak UniSZA mengguna pakai kemudahan dua blok di Taman Ilmu tanpa sewaan selama 10 tahun dengan kesediaan institusi itu menampung kos baik pulih blok berkenaan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: