Saturday, 3 November 2018

BAJET 2019: Peruntukan IPG Tidak Bantu Penoreh

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
KUALA TERENGGANU, 3 November - Peruntukan RM50 Juta sebagai Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Bajet 2019 semalam tidak memberi manfaat yang besar kepada penoreh.

Ini kerana pekebun kecil hanya akan menerima sokongan pendapatan daripada IPG jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim menggesa Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar kejatuhan harga getah di bawah paras RM2.20 sekilogram untuk melayakkan mereka menerima sokongan pendapatan dari IPG.

"Apa nilai RM2.20 sekilogram untuk seorang penoreh? Inilah harga purata getah yang 'dinikmati' oleh mereka sejak sekian lama dan  pada paras ini, ia tidak cukup untuk menampung keperluan kehidupan harian yang minima.

"Respon yang saya perolehi daripada rata-rata penoreh mencadangkan idea meletakkan harga lantai getah pada paras minima RM4 sekilogram.

"Pada kadar itu, mereka tidak lagi memerlukan apa-apa bantuan khas yang lain seperti bantuan musim tengkujuh dan sebagainya.

"Saya juga yakin selepas pelaksanaan Bajet 2019, harga getah akan stabil pada paras RM2.20 sekilogram dan menyebabkan IPG tidak perlu dibayar kepada penoreh!" tegasnya.

Berkenaan kepelbagaian penggunaan getah tempatan dalam industri , Dr. Azman melihat ia tidak mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

"Cadangan ini adalah satu inovasi menarik. Tetapi, ia tidak akan mampu melonjakkan harga komoditi ini di pasaran kerana kita semua maklum isu utama kejatuhan harga bukan kerana getah kita tidak laku di pasaran dunia," katanya.

Kerajaan Persekutuan mengumumkan akan memperluas penggunaan getah tempatan sebagai bahan campuran dalam pembinaan jalan raya bagi meningkatkan daya ketahanan jalan di samping mengurangkan kos penyelenggaraan.

Kerajaan menyasarkan penggunaan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) terutamanya untuk pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat.

Bagi tujuan ini, sebanyak RM100 juta diperuntukkan.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: