Monday, 26 November 2018

Bajet 2019 : Pemilik Haiwan Ternakan Diingatkan Jangan Ingkar

SHARE
Dr. Alias Razak 
KUALA TERENGGANU, 26 November-Kerajaan negeri memberi peringatan kepada pemilik haiwan yang gemar membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya atau tempat awam supaya mematuhi arahan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sekiranya pemilik gagal mematuhi arahan berkenaan, mereka bakal berdepan kompaun sebanyak RM250.

Katanya lagi, sekiranya pemilik ternakan tidak membuat tuntutan ternakan antara tujuh hingga 14 hari selepas ditangkap, bukan sahaja kompaun tetapi turut dikenakan kos tebus serta caj tambahan sebanyak RM10 (seekor haiwan) setiap hari.

"Masalah haiwan ternakan dibiarkan berkeliaran bukan lah perkara baharu namun ia berlaku secara berterusan berikutan sikap sesetengah individu yang tidak mematuhi peraturan," kata beliau dalam sidang media pada Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukan oleh Ir. Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik).

Menurut beliau, sepanjang operasi antara Januari hingga November ini, sebanyak 112 ekor lembu, kambing (141 ekor), kambing biri-biri (10 ekor) dan seekor kerbau telah ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.

Jelasnya, jumlah kompaun yang dibayar oleh pemilik ternakan adalah berbeza mengikut jenis haiwan iaitu RM250 bagi seekor lembu, RM100 (kambing) dan RM50 (anak kambing).

"Ada yang kata PBT zalim sebab menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran tetapi operasi ini terpaksa diteruskan demi menjaga kepentingan awam, keselamatan pengguna jalan raya serta keselesaan penduduk dan pelancong.

"Kita buat semua ini supaya pemilik ternakan tidak mengulangi kesalahan yang sama dan ini merupakan satu pengajaran kepadanya,"katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: