Monday, 26 November 2018

Bajet 2019 : `Mandi Orang Mati Pun Dapat' - Juru Mandi

SHARE

Oleh : Dzakaria Mohd Salleh

SETIU, 26 November -  Bajet 2019 berjumlah RM2.015 bilion sebagai 'bajet berimbang' yang diumumkan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar semalam, memberi kegembiraan kepada semua golongan.


Bajet berkenaan turut tidak melupakan perkhidmatan juru mandi jenazah dan pembantunya apabila menyediakan elaun bulanan RM100 sebulan kepada golongan itu.

Manfaat turut dinikmati juru nikah apabila menerima kenaikan elaun kepada RM200 sebulan.

Seorang juru mandi jenazah, Mohamad Chek,74, berkata inisiatif itu mendorong lebih ramai terlibat untuk menunaikan tuntutan fardu kifayah serta boleh menarik golongan muda sebagai pelapis bagi menggantikan 'orang lama' .


"Terima kasih kerajaan. Kita sangat hargai pengumuman elaun bulanan ini, ini kerja fardu kifayah. Alhamdulillah, semua dapat dari Bajet 2019 ini...mandi orang mati pun dapat," katanya yang sudah menjadi juru mandi jenazah di Kampung Lingai, Batu Rakit sejak 1994.

Sementara itu, seorang lagi juru mandi jenazah wanita, Fatimah Abdullah 63, dari Perumahan Wakaf Tengah turut melahirkan perasaan gembira dengan pengumuman tersebut.


"Terima kasih kepada kerajaan dan kebimbangan kita dalam melahirkan pelapis untuk melakukan tuntutan ini nampaknya akan dapat diatasi atas usaha murni kerajaan ini," katanya yang berkhidmat sebagai juru mandi sejak lima tahun lalu.

Selain itu, bajet negeri tahun depan juga menyediakan khairat kematian sebanyak RM2,000 bagi juru mandi dan pembantunya yang telah berkhidmat melebihi lima tahun dan RM1,000 bagi yang berkhidmat kurang dari lima tahun.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: