Wednesday, 28 November 2018

Bajet 2019 : Kerajaan Negeri, JPS Jalin Kerjasama Atasi Hakisan Pantai Kampung Kolam

SHARE

KUALA TERENGGANU, 27 November - Kerajaan negeri melalui kerjasama Jabatan Pengaliran Dan Saliran (JPS) akan melaksanakan projek menambak dan membaik pulih pantai yang bernilai RM500 ribu bagi menggantikan projek pengawalan hakisan pantai di Pantai Kampung Kolam, Pengkalan Maras, Seberang Takir yang dibatalkan oleh Kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri,  Dr. Mamad Puteh berkata, usaha itu sebagai antara persediaan kerajaan negeri berdepan risiko hakisan pantai di kawasan berkenaan yang dijangka lebih parah pada tahun ini.

Katanya, keputusan pembatalan projek berkenaan adalah selaras dengan dasar Kerajaan Pusat apabila berlaku pertukaran pentadbiran menyebabkan projek yang belum dilancar serta baharu 15 peratus pembinaan itu, perlu kajian semula secara menyeluruh oleh JPS melibatkan keberkesanan kos berikutan kekangan kewangan Kerajaan Pusat masa kini.

"Projek ini yang memakan belanja RM90 juta yang dijangka dilaksanakan pada 2019 telah dibatalkankan atas alasan justifikasi kewangan peringkat pusat.

"Namun sebagai persediaan awal, kerajaan negeri akan teruskan usaha untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM500 ribu melalui hasil rundingan bagi melaksanakannya dengan segera supaya masalah hakisan sepanjang 500 meter ini dapat diatasi atau dikurangkan,"ujarnya.

Terdahulu beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Hishamuddin Abdul Karim  (PAS-Tepuh).

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan meneruskan pelaksanaan projek kawalan hakisan dalam skala yang kecil bagi membendung masalah yang membelenggu penduduk di kawasan lain apabila menjelang musim tengkujuh.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: