Saturday, 17 November 2018

Asyraf Penuhi Impian Arwah Ibu Bapa Genggam PhD

SHARE
Asyraf Ridwan Ali,
KUALA NERUS, 17 November - Demi memenuhi impian arwah ibu bapa yang ingin melihat anak mencapai pendidikan tertinggi menjadi pembakar semangat buat Asyraf Ridwan Ali meneruskan pengajian untuk menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Walaupun terpaksa berkerusi roda apabila diserang penyakit saraf dan tulang belakang, beliau mengambil masa lebih enam tahun untuk menghabiskan tesis PhD dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (Pengkhususan Pendidikan Islam Dalam Tulisan Jawi).

Asyraf, 44,  yang juga Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail, Batu Rakit, berkata beliau terpaksa bertarung penyakit 'diffuse idiopathic skeletal hyperostosis' sejak 2015.

"Hanya satu hasrat saya iaitu ingin merealisasikan impian arwah orang tua yang ingin melihat anaknya mencapai kejayaan dan pencapaian tertinggi dalam pendidikan dan itu pembakar semangat utama untuk terus berjuang.

"Memang sukar untuk saya menghabiskan tesis dengan dengan penyakit ini selain pergerakan terbatas, kadang-kadang hanya terlantar bila sakit dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang pertama Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-10 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Dewan Al-Muktafi Bilal Shah, di sini, hari ini.


Asyraf Ridwan menerima PhD berkenaan yang disampaikan Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Beliau yang menjalani pembedahan tulang belakang pada April tahun lalu berkata, untuk bangkit semula bukan mudah dan bersyukur kerana keluarga serta tenaga pensyarah banyak membantu memberinya semangat baharu.

"Saya ambil masa lebih tiga bulan untuk bangkit semula selepas pembedahan dan bukan mudah untuk meneruskan perjuangan apabila terpaksa membahagikan masa dengan kerjaya, rawatan dan pengajian termasuk menghabiskan tesis,"katanya lagi.

Seramai 2,359 graduan UniSZA diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-10 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus sepanjang tiga hari bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 65 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, graduan sarjana (134), sarjana muda (1,641) dan diploma (999).




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: