Tuesday, 6 November 2018

Aras Air Bahaya Di Sungai Utama Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 6 November - Kesemua sungai-sungai utama di Terengganu menunjukkan peningkatan aras air yang dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya banjir.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Osman Abdullah berkata, tiga sungai melepasi waspada iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok (trend menurun), Sungai Nerus di Kampung Langkap (trend menurun) dan Sungai Setiu di Kampung Besut (trend menaik).

"Manakala 2 sungai lagi melepasi amaran iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping Hulu Terengganu (trend meningkat) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (trend menaik)," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas tentang info terkini keadaan banjir Terengganu.

Katanya, beberapa penempatan telah dinaiki air (local flooding) di Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus dan Kampung Sungai Buaya, Dungun.

"Kesemua 42 stesen hujan merekodkan hujan sekitar 20mm-100mm utk hari ini. Hujan 100mm direkodkan di Kampung Bukit Diman Hulu Terengganu (lembangan Sungai Marang).

"Purata jumlah hujan yang diterima bermula 1 hingga 5 November 2018 ialah 207mm," ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Osman, susulan amaran cuaca buruk peringkat  jingga yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia pada 5 November 2018, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) meramalkan kejadian banjir akan berlaku bermula jam 10.00 malam ini 6 November.

Ianya akan melibatkan beberapa kampung di sepanjang Sungai Telemong termasuk Kampung Basung, Kampung Teris, Kampung Tok Lawit, Kampung Tengkawang, Kampung Kuala Ping dan Kampung Kepah manakala Sungai Nerus akan melibatkan Kampung Langkap, Kampung Merbau Menyusut dan kawasan sekitarnya.

Banjir juga diramalkan berlaku pada 7 November 2018 bermula jam 11.00pagi yang melibatkan Kampung Matang, Kampung Nibong, Kampung Paloh Nyior dan Kampung Bukit Tadok, akibat limpahan sungai Telemong. Kesemuanya dalam daerah Hulu Terengganu.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: