Monday, 5 November 2018

Anak Istimewa Kunci Ke Syurga

SHARE
LPPKN membantu memperkasakan ibu bapa anak istimewa bagi mencapai hidup keluarga bahagia.
KUALA TERENGGANU, 5 November - Anak istimewa adalah antara kunci ibu bapa menuju ke syurga kerana mereka diberi kesempatan dan ruang untuk membuat kebajikan dengan mengurus anak-anak istimewa itu.

Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Terengganu, Muhamad Noh Abdullah berkata, ibu bapa tidak perlu merasa malu atau segan untuk mempelajari ilmu berkenaan pengurusan anak-anak itu.

“Sudah tentu sesuatu perkara yang berlaku ada sebab-sebab yang mendorongnya kerana pepohon pokok tidak akan berliuk-liuk jika tidak ditiup angin. Hakikatnya pembentukan keperibadian mulia anak-anak bermula daripada institusi keluarga.

“Ibu bapa merupakan 'uswah hasanah' kepada anak-anak di rumah. Justeru, mereka mestilah sentiasa bersikap penyayang dan berbudi pekerti mulia dan jangan sesekali bersikap pilih bulu atau pilih kasih terhadap anak istimewa ini,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis perasmian Program Ilmu Keluarga @ LPPKN “Anak istimewa Satu Anugerah sempena program TePat (Terengganu Parenting Tour 2018) di Dewan Teater ,Wisma Darul Iman, semalam.

Oleh itu, katanya, agensinya telah mengadakan program TePat (Terengganu parenting Tour 2018) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu agar dapat membantu ibu bapa berkenaan.

Dengan itu, menurutnya, peranan ibu bapa akan diperkasakan dan seterusnya merealisasikan hasrat LPPKN dalam pembentukan keluarga bahagia.

“Saya juga percaya hasrat ini juga adalah seiring dengan dasar Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) iaitu maju, berkat, sejahtera,” tegasnya.


Katanya, semenjak tahun 2017 sehingga ke hari ini, LPPKN Negeri Terengganu telah melaksanakan sebanyak 24 program keibubapaan yang telah melibatkan seramai 1,785 orang peserta di bawah program TePaT.

“Semoga program yang diberikan untuk rakyat Terengganu ini akan memberi impak dan manfaat untuk semua golongan demi membentuk rakyat yang berkualiti mengikut prinsip dan acuan Islam.

“Selain itu, LPPKN turut menggunakan platform ini untuk meningkatkan skor indeks kesejahteraan keluarga (IKK) Negeri Terengganu. IKK mencatatkan skor 7.56 pada 2016 yang dijangka bakal meningkat kepada 8.00 menjelang tahun 2020, insya-Allah,” jelasnya.

Justeru, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Isteri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Hajah Zarani Othman di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program ini.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: