Saturday, 10 November 2018

Aisyah Tauladan Terbaik Wanita Zaman Kini

SHARE
Haji Hanafiah (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Haji Yahaya.
KEMAMAN, 10 November - Kaum Wanita perlu menjadikan  Sayyidatina Aisyah sebagai suri tauladan terbaik berkait dengan soal menimba ilmu pengetahuan dan perjuangan supaya kental menghadapi dunia semakin mencabar dewasa ini. 

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri,  Haji Yahaya Ali berkata,  Sayyidatina Aisyah mempunyai ketokohan tersendiri yang tidak ada tolok bandingnya untuk ditauladani. 

"Beliau (Siti Aisyah) merupakan anak kepada sahabat paling rapat dan paling  disayangi Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Bakar As-Siddiq r.a.

"Rasulullah s.a.w. berkahwin dengan Aisyah semasa beliau masih kecil tetapi dalam umur yang sudah matang,  merupakan seorang isteri yang sangat dikasihinya, " jelas beliau. 

Haji Yahaya berkata, dengan kehidupan baginda s.a.w. sebagai rasul dan pemimpin ummah dan dengan segala macam cabaran, Siti Aisyah menjadi penenang dan tempat nabi bermanja serta berehat.

Haji Hanafiah (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Azhar Idrus selepas selesai kuliah dhuha di Program Sayyidatina Aisyah di Padang Astaka Kemaman semalam.

Bagi mengambil suri tauladan dari peranan Aisyah di sisi Rasulullah s.a.w., para isteri umat Islam hari ini seharusnya memahami,  apabila si suami terlalu sibuk,  mengurus kehidupan bermasyarakat,  sudah tentu isterilah menjadi tempat penenang, " ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sayyidatina Aisyah Peringkat Daerah Kemaman yang julung-julung kali diadakan di Padang Astaka Kemaman di sini semalam. 

Program yang bertemakan 'Wanita Sejahtera Bersama Islam' itu berlangsung selama dua hari, bermula semalam dengan sambutan yang menggalakkan dari penduduk setempat dan luar daerah tersebut. 

Turut hadir,  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan,  Pembangunan Wanita,  Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri,  Haji Hanafiah Mat dab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih,  Haji Abdul Razak Ibrahim.

Katanya,  Aisyah menjadi rujukan para sahabiyyah dan sahabat Nabi kerana beliau paling arif dan berilmu selepas kewafatan baginda s.a.w.

"Beliau merupakan wanita yang sangat tahan diuji terutama ketika menghadapi fitnah yang dilemparkan oleh golongan munafik ketika beliau tertinggal dalam satu musafir.

"Fitnah tersebut berlaku sehingga menjejaskan kehidupan kekeluargaannya," ujar beliau.

Akhirnya, turun ayat membersihkan Siti Aisyah dari fitnah tersebut.

"Ini semua adalah pengajaran dan pedoman yang perlu diambil tauladan oleh wanita kita hari ini ," jelas beliau.

Haji Yahaya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu seterusnya berkata, baginda s.a.w. mempunyai ramai isteri tetapi bukan bererti isteri lain dari Siti Aisyah tidak penting. 

"Semua isteri Rasulullah s.a.w. adalah isteri-isteri yang paling hebat yang boleh dibuat contoh dan tauladan. 

"Cuma pada hari ini pihak urusetia (program)  memilih Sayyidatina Aisyah itu (untuk menjadi tajuk program)  dengan sebab yang khusus, " jelasnya. 

SHARE

Author: verified_user


0 komen: