Monday, 12 November 2018

Ahmad Shah Pelawa Orang Ramai Ke Pusat Khidmat & i-MiTS DUN Bandar

SHARE
ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed meraikan warga DUN Bandar dengan jamuan tengahari.
KUALA TERENGGANU, 12 November - Orang ramai terutama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, dipelawa menggunakan Pusat Khidmat Masyarakatnya jika ingin mendapat maklumat semasa tentang Kerajaan Negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, komitmen beliau sebagai wakil rakyat yang dipilih mahu berkhidmat tanpa mengira kaum dan agama.

Malah, menurutnya, para pengundi di DUN Bandar boleh memberi pandangan serta cadangan demi kepentingan rakyat.

“Kita harap kepada masyarakat pengundi di DUN Bandar dapat menggunakan Pusat Khidmat ini sebagai tempat untuk saluran mendapat maklumat antara rakyat dengan kerajaan.

“Mereka (rakyat) boleh datang untuk memberi cadangan dan pandangan, dan apa-apa permasalahan kita cuba selesaikan, insya-Allah,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Pembukaan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bandar di Chabang Tiga, Kuala Terengganu, 7 November lalu.

Katanya, komitmen kerajaan baharu Terengganu ini lebih matang dan tidak melakukan diskriminasi kepada rakyat umum.

“Kita mahu berkhidmat kepada rakyat, tidak kiralah mereka itu dari parti mana dan agama apa. Mereka yang jadi pengundi di sini adalah rakyat Terengganu yang perlu disantuni.

“Jika rakyat ada masalah datanglah mengadu ke pejabat DUN Bandar ini dan kita akan cuba selesai mengikut saluran kerajaan,” jelasnya.

Menjawab persoalan mengenai sebarang kemungkinan berlaku banjir di Terengganu, katanya tindakan dan persiapan negeri umumnya dalam keadaan bersiap-siaga.

“DUN Bandar ini tidak bermasalah sangat dengan banjir. Sebab kita di tempat yang agak tinggi dan jika berlaku masalah banjir pun kerana air (laut) pasang besar.

“Biasanya berlaku di sekitar Kampung Losong melibatkan beberapa buah rumah penduduk berhampiran Sungai Kuala Terengganu. Kita (kerajaan) juga telah membuat persediaan untuk menghadapai sebarang kemungkinan itu,” ujarnya.

Hadir sama meraikan majlis itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri iaitu Muhyidin Abdul Rashid, veteran PAS, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong dan ramai lagi.

Sempena majlis kesyukuran itu, turut diadakan jamuan rakyat yang dihadiri hampir 2,000 orang dari pelbagai peringkat umur dan jantinannya.

SHARE

Penulis: verified_user

Blog "Apa Orang Kata" menemui anda sekalian bagi mengupas pandangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita semua. Pandangan menulis blog ini juga tidak terikat dengan mana-mana parti politik tetapi lebih ke arah menuntut keadilan dalam Islam. Biar pun pahit tetapi ad manisnya. InsyaAllah.

0 komen: