Monday, 12 November 2018

Ahli Majlis Jangan Jadi 'Pak Turut'

SHARE
Dr Alias berucap di DITC Teluk Kalong Kemaman semalam.
KEMAMAN, 12 November - Kerajaan menasihatkan ahli majlis yang baharu dilantik  supaya tidak menjadi 'pak turut', meniru idea lama yang ditinggalkan oleh ahli majlis terdahulu dalam merancang pembangunan di daerah masing-masing.

Sebaliknya kerajaan negeri mahu mereka mengemukakan idea-idea baharu dalam merancang pembangunan supaya rakyat lebih banyak mengambil manfaat, hasil dari perancangan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, kerajaan mahu melihat pembangunan negeri dilaksanakan lebih terancang tetapi sekiranya ahli majlis tidak mempunyai ilmu perancangan yang baik, perkara tersebut tidak akan berlaku.

Dr Alias bersalaman dengan peserta Kursus Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Siri I 2018 di DITC Teluk Kalong Kemaman semalam.
"Kalau kita sendiri tidak ada ilmu merancang pembangunan kita akan jadi 'pak turut', ikut sahaja apa orang kata kerana kita sendiri tidak ada idea untuk merancang pembangunan.

"Pendapat atau wawasan pembangunan kita tidak ada, kita akan mengikut rutin biasa sebagaimana  perancangan orang dahulu (bekas ahli majlis) buat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Siri I 2018 di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong di sini, semalam.

Turut hadir timbalan beliau, Ustaz Ahmad Shah Muhamed, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Othman Ibrahim dan 84 Ahli Majlis Daerah dan Perbandaran seluruh negeri Terengganu.

Kursus yang berkait dengan perancangan kewangan dan pembangunan kerajaan tempatan itu berlangsung selama tiga hari, bermula semalam.
Dr Alias (tengah) dan Ustaz Ahmad Shah (kiri) di Majlis Perasmian Kursus Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Siri I 2018 di DITC Teluk Kalong Kemaman semalam. 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, kerajaan berhasrat menjadikan pembangunan di peringkat derah lebih mampan dengan percambahan idea baharu di kalangan ahli majlis tanpa meniru idea lama bekas ahli majlis.

"Jika kita buat rancangan pembangunan lama sebab orang dahulu buat begitu, maka ilmu itu tidak berkembang.

"Kita tidak mahu ahli majlis baharu berbuat demikian, kita mahu 'body' baharu mesti otak baharu, kita mahu idea-idea baharu yang boleh membantu membawa kelainan dalam urusan perancangan majlis-majlis daerah dan majlis perbandaran," tegasnya.

Mengenai perancangan kewangan pula, beliau berkata, ahli majlis juga didedahkan dengan kursus asas pentadbiran kewangan.

"Paling penting sekali adalah pengurusan kewangan. Kalau duit banyak pun tidak tahu mengurus, boleh jadi bankrap tetapi kalau duit sikit tahu mengatur dengan baik, banyak manfaat yang dapat kita peroleh," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, pengurusan kewangan bukan mudah untuk dilaksanakan kerana kebanyakan ahli majlis sudah berusia.

"Saya faham bila umur meningkat 40 hingga 60 tahun, payah nak terima ilmu tetapi berusahalah sedaya upaya untuk mendapatkan ilmu dalam bidang pengurusan tersebut," katanya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: