Thursday, 29 November 2018

ADUN Wanita Untuk Semua - Zuraida

SHARE
Zuraida Md Noor.
KUALA TERENGGANU, 29 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita pertama di Terengganu, Zuraida Md Noor menyatakan, pelantikannya hari ini membuktikan bahawa Kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyedari kepentingan dan peranan wanita dalam kepimpinan untuk sama-sama menyumbang idea untuk pembangunan negeri.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu atas pelantikan ini. Tugas ADUN Wanita bukan sekadar membawa isu berkaitan wanita dan kekeluargaan sahaja tetapi untuk berkhidmat kepada semua masyarakat.

"ADUN Wanita juga sebagai semak dan imbang (check and balance) kepada polisi kerajaan negeri. Ini kerana kami mempunyai pandang sisi berbeza sebagai seorang ibu, anak, isteri dan juga sebagai rakyat ke atas sesuatu isu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini, mengulas tentang pelantikannya yang telah berlangsung di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Terengganu Keempat Belas (Bajet), hari ini.

Menurutnya, beliau percaya wanita lebih dinamik dan holistik untuk membantu kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu rakyat.

"Dengan slogan 'ADUN Wanita Untuk Semua' insyaAllah akan berbakti untuk rakyat Terengganu sebaiknya demi agama, bangsa dan negara. Semoga dengan pelantikan ini akan menjayakan lagi agenda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) ke arah Terengganu maju, berkat dan sejahtera," ujarnya.

Kerajaan PAS Terengganu mencipta sejarah hari ini apabila melantik Zuraida sebagai ADUN wanita pertama di Terengganu.

Zuraida, 38, yang juga Pengarah Ameerah negeri mengangkat sumpah memegang jawatan itu selama sepenggal bagi tempoh lima tahun, di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali.

Pemilihan itu dibuat selaras dengan pelantikan ADUN yang termaktub dalam Perkara 27, Fasal 2, Undang-Undang Tubuh negeri Terengganu yang diluluskan ketika era pemerintahan PAS pada 1999 hingga 2004.

Untuk rekod, Terengganu merupakan negeri pertama di Semenanjung Malaysia melantik ADUN wanita yang membolehkan wanita yang tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum mewakili DUN untuk bercakap, berbahas dan mengemukakan soalan kepada DUN Terengganu, selain mempunyai hak yang sama seperti ADUN lain tetapi tidak boleh mengundi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: