Friday, 16 November 2018

ADUN Muslimat Dilantik Akhir Bulan Ini

SHARE
Haji Yahaya Ali.
MARANG, 16 November - Kerajaan Terengganu bakal mencipta sejarah baharu apabila usul perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kalangan muslimat akan diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)  mulai 25 hingga 29 November ini. 

Yang Dipertua DUN Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata,  turut dilantik seorang senator juga dari muslimat menggantikan seorang senator yang telah tamat tempoh perkhidmatannya baru-baru ini.

Katanya, nama-nama mereka akan diumumkan dalam persidangan DUN tersebut. 

"Dua isu ini akan dapat diselesaikan.  Insya-Allah usul berkait dengan ADUN yang dilantik dari kalangan wanita akan dibawa. 

"Begitu juga senator baharu bagi menggantikan senator lama yang telah habis tempoh perkhidmatan juga akan dibawa ke dalam persidangan DUN kali ini.

"Siapa dia mereka itu,  akan dimaklumkan dalam persidangan DUN nanti," katanya dalam Sidang Media selepas Majlis Hafaz Muqaddam dan Graduasi Kanak-kanak Taska Permata Keluarga Daerah Marang di Dewan Masjid Sultanah Nur Zahirah di sini semalam. 

Menjawab satu soalan pemberita, Haji Yahaya berkata,  ADUN berkenaan akan mengangkat sumpah dan akan mengambil tempat duduk yang disediakan berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu dan Peraturan-peraturan Tetap DUN (Standing Order).

"Sebagaimana yang menjadi peraturan sidang dewan iaitu merujuk kepada Undang-undang tubuh Kerajaa Negeri dan peraturan-peraturan tetap dewan,  itu adalah perkara yang mesti disempurnakan. 

"Maksudnya,  selepas daripada usul itu mendapat persetujuan daripada dewan,  dia (bakal ADUN itu)  akan terlebih dahulu mengangkat sumpah dan seterusnya dia mengambil tempat yang telah ditetapkan sebagai ahli dewan," ujarnya. 

Cuma katanya,  ADUN wanita yang dilantik itu merupakan satu perkara baharu yang belum pernah dibuat di Terengganu. 

"Ini merupakan satu sejarah bagi kerajaan negeri kerana ahli yang dilantik ini mempunyai hak untuk berbahas dan menyuarakan pandangan. 

"Cumanya dia tiada kuasa mengundi sahaja kerana dia merupakan ADUN dilantik, " jelasnya. 

Berhubung kriteria pemilihan ADUN dan Senator,  beliau berkata,  kerajaan mengambil semua faktor kepimpinan termasuk latar belakang profesional,  pendidikan agama dan orang muda sebagaimana menjadi hasrat masyarakat Terengganu. 

"Jadi kerajaan negeri telah memilih calon ini dengan mengambil kira semua kehendak dan juga pandangan masyarakat," jelasnya lagi. 
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: