Thursday, 8 November 2018

72 Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JHEAT

SHARE
Dato' Osman menyampaikan anugerah kepada kakitangan JHEAT.
KUALA TERENGGANU, 8 November - Seramai 72 kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 di Pusat Pentadbiran Islam Negeri, hari ini.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika berucap sempat merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada kakitangan yang terpilih kerana berjaya melaksanakan tugas  dengan cemerlang.

"APC dilaksanakan sejak 1993 dan diangkat sebagai medium penghargaan kepada penjawat awam yang menyemai bakti cemerlang dengan penilaian selama setahun perkhidmatan.

"Ia secara tidak langsung memberi dorongan kepada penjawat awam untuk meningkatkan kualiti kerja dalam setiap tugasan yang diterima.

W. Ismail menamatkan perkhidmatan hari ini.
"Justeru, saya mengajak warga JHEAT untuk terus meningkatkan kecemerlangan dalam khidmat kepada kerajaan negeri dan pemegang taruh (rakyat).

"Semoga usaha semua warga diberkati Allah SWT dan penghargaan ini menjadi bonus buat kita," katanya.

Majlis itu turut meraikan Wan Ismail yang  menamatkan perkhidmatan sebagai Pesuruhjaya bermula hari ini.

Beliau telah berkhidmat bersama JHEAT selama 33 tahun bermula tahun 1985.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) negeri, Dato' Osman Muda yang merasmikan majlis berkenaan turut mengucapkan terima kasih atas usaha dan jasa Wan Ismail sepanjang berkhidmat memperkasa agama Islam di negeri itu.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: