Saturday, 3 November 2018

4,500 Limpahi Konsert Teater Muzikal Islamik Untukmu Rasulullah

SHARE
Saifuddin Ab Wahab (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Exco Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Foto - Hishamuddin Abdullah
KUALA TERENGGANU, 3 November - Seramai kira-kira 4,500 penonton melimpahi Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam untuk menyaksikan Konsert Teater Muzikal Islamik Untukmu Rasulullah, semalam.

Penganjur program, Saifuddin Ab Wahab berkata, program tersebut bertujuan untuk memperkenalkan sirah kehidupan Rasulullah SAW kepada masyarakat terutamanya generasi muda dalam menghayati perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW.

"Ianya merupakan sebuah pementasan yang membawa penonton menyelusuri sirah kehidupan, perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW bermula dari zaman jahiliyyah sehinggalah khutbah terakhir Rasulullah SAW.

"Kita bawa penonton menghayati perjalanan kehidupan Rasulullah SAW secara ringkas melalui fasa Makkah (Wahyu Pertama, Dakwah Terbuka, Taif dan Israk Mikraj) dan fasa Madinah (Hijrah, Uhud, Pembukaan Kota Makkah & Khutbah Terakhir Rasulullah)," jelasnya.


Sementara itu, Saifuddin yang juga Pengarah Urusan Pusat Dakwah Al Barakah turut memberitahu, Bicara Santai Selebriti yang menampilkan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah, Ustaz Haslin Baharim, Syamsul Debat Syamsul Amri Official dan Shamsul Ghau Ghau diadakan di sebelah petang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, mengulas tentang Konsert Teater Muzikal Islamik Untukmu Rasulullah anjuran Pusat Dakwah Al Barakah dengan kerjasama Unais Mediaworks di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Dalam pada itu, beliau sangat berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah yang turun untuk meraikan program tersebut.

Menurutnya, Konsert Teater Muzikal Islamik Untukmu Rasulullah pada sebelah malam dipersembahkan oleh ramai artis dan asatizah tanah air seperti Nasir Bilal Khan, Adam Corrie, Shamsul Ghau Ghau, Imam Muda Mubeen, Syamsul Debat, Ustaz Manis, Hafiz Hamidun, Hijjaz, Mizwar, Pencetus Ummah Syed, Pemuzik Din As Salam, Hafiedz Udu, Shukri Sahari serta penampilan istimewa oleh Ustaz Azhar Idrus.

"Di samping itu, persembahan diserikan lagi dengan nasyid-nasyid berkaitan Rasulullah SAW yang memberi renungan dan muhasabah kepada penonton," tambahnya.

Al Haddad Group menjadi penaja utama Konsert Teater Muzikal Islamik Untukmu Rasulullah. Antaranya termasuklah Al Haddad Marketing Sdn Bhd, Al Haddad Manufacturing Sdn Bhd, Al Haddad Logistic dan Al Haddad Care.
CEO Al Haddad Group, Haji Syed Ageel Syed Mahayadin Al Haddad (dua dari kiri).
Turut hadir, Pegawai Perhubungan Parlimen, Haji Zulkifli Wahab dan Penolong Pengarah Penerangan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Aswadi Mohamad.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: